Sorok aktiviti lombong emas haram guna kanvas

Kanvas yang digunakan untuk menutup rangka pondok dibuka dan disembunyikan oleh penceroboh ketika pasukan pemantau dari JPS melakukan pemantauan dari udara menggunakan helikopter.
Kanvas yang digunakan untuk menutup rangka pondok dibuka dan disembunyikan oleh penceroboh ketika pasukan pemantau dari JPS melakukan pemantauan dari udara menggunakan helikopter.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tarik dan sorok kanvas yang menutupi rangka pondok bagi mengelak dikesan menyebabkan aktiviti melombong atau mendulang emas di kawasan Sungai Bole di Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu sukar dikesan.

Itu antara taktik penceroboh hutan simpan yang melakukan aktiviti mendulang emas di sungai berkenaan bagi mengaburi pasukan pemantau Jabatan Perhutanan Sabah (JPS).

Jurucakap JPS berkata, pihaknya tidak menyangka berlaku aktiviti berkenaan kerana tiada tanda kemasukan pada laluan dikenal pasti.

Katanya, penceroboh sebenarnya masuk menggunakan laluan yang memerlukan perjalanan selama lapan hari untuk tiba ke lokasi sungai berkenaan.

"Kawasan itu memang terpencil dan memerlukan perjalanan selama lapan hari dengan berjalan kaki. Kawasan itu juga mempunyai banyak laluan dan salah satu paling hampir dengan lokasi kita sudah letakkan pos pengawal.

"Kita memang kawal betul-betul, jadi tiada tanda-tanda orang masuk. Bagaimanapun rupanya, mereka (penceroboh) melalui laluan belakang iaitu laluan tikus yang perlu berjalan kaki selama lapan hari dan kita tidak menyangka mereka boleh masuk begitu jauh dari laluan lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Lubang yang dikorek untuk aktiviti melombong emas dari kawasan Sungai Bole, Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu, tidak kelihatan kerana dilitupi daun-daun ketika pemantauan dibuat dari udara.
Lubang yang dikorek untuk aktiviti melombong emas dari kawasan Sungai Bole, Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu, tidak kelihatan kerana dilitupi daun-daun ketika pemantauan dibuat dari udara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemantauan dari atas udara menggunakan helikopter juga sering dibuat di kawasan itu, namun penceroboh dipercayai melakukan pelbagai taktik untuk mengelak dikesan.

"Kita percaya setiap kali mereka telah terdengar bunyi helikopter, mereka segera membuka dan menyembunyikan kanvas yang menutupi rangka pondok. Dari atas hanya kelihatan pokok dan daun-daun.

"Malah lubang yang mereka korek juga tidak kelihatan kerana dilitupi oleh daun-daun," katanya.

Sehubungan itu, jurucakap berkata, bagi mengelak kejadian itu berulang pihak JPS akan menghantar pasukan unit khas terlatih untuk memeriksa lokasi.

"Sekarang kita kawal dengan ketat laluan-laluan berkenaan dan kita hantar pasukan unit khas terlatih dari JPS untuk memerhati di lokasi. Kita mungkin guna taktikal, maksudnya jika ada penceroboh kita akan kepung dan tangkap terus.

"Selain itu, kita akan buat 'helipad' di lokasi berkenaan supaya dapat menurunkan pasukan pemantau bagi memantau kawasan berkenaan kerana kalau melalui jalan darat mengambil masa perjalanan yang lama," katanya.

Ditanya berhubung kerjasama dengan agensi atau pasukan keselamatan lain, jurucakap memaklumkan bahawa kerjasama sudah lama dilakukan terutama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan kegiatan melombong emas di Sungai Bole di Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu berjaya dibongkar oleh PGA menerusi operasi bersama pelbagai agensi termasuk JPS.