Terengganu beri keutamaan pemohon bantuan sudah divaksin

Hanafiah (kiri) bertanya keadaan Wan Fatimah@Wan Maznah (tengah) yang mengalami masalah paru-paru dan memerlukan mesin oksigen di Kampung Losong Panglima Perang pada Ahad.
Hanafiah (kiri) bertanya keadaan Wan Fatimah@Wan Maznah (tengah) yang mengalami masalah paru-paru dan memerlukan mesin oksigen di Kampung Losong Panglima Perang pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengambil keputusan untuk memberi keutamaan kepada permohonan bantuan daripada individu yang sudah menerima vaksin Covid-19.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia selaras dengan tindakan kerajaan yang tidak lagi memberi muka kepada golongan antivaksin.

“Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah keluarkan kenyataan akan buat sekatan dan susahkan (antivaksin), jadi kita akan ikut apa yang kementerian buat.

“Selepas ini, semua permohonan bantuan yang diterima akan diperiksa sama ada pemohon sudah menerima vaksin Covid-19 atau tidak.

“Kalau belum suntik, kita akan nasihati supaya ambil vaksin Covid-19 terlebih dahulu supaya permohonan mereka dapat diproses, insya-ALLAH rakyat kita akan terima,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi Wan Fatimah@Wan Maznah W Chik, 76, yang memerlukan mesin oksigen kerana mengalami masalah paru-paru di Kampung Losong Panglima Perang, di sini pada Ahad.

Wan Fatimah@Wan Maznah menderita penyakit itu sejak 30 tahun, namun semakin serius dan terpaksa memakai mesin oksigen bermula dua minggu lalu yang disewa di sebuah farmasi dengan harga RM300 sebulan.

Sementara itu, Hanafiah turut meminta waris kepada kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa atau bapa akibat Covid-19 memaklumkan situasi itu kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, maklumat tersebut penting bagi membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menilai bantuan dan tindakan sewajarnya kepada kanak-kanak berkenaan supaya kebajikan mereka terjaga.

“Setakat ini, saya belum terima data anak-anak menjadi yatim piatu akibat Covid-19, jadi saya harap waris boleh berhubung dengan JKM atau JPKK supaya bantuan dapat diberi kepada mereka,” katanya.