Polis siasat penipuan minta sumbangan guna nama Perqaseh

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menjalankan siasatan berhubung kes penipuan menggunakan nama Pertubuhan Kebajikan Nurqaseh PDRM Malaysia (Perqaseh).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, laporan diterima daripada seorang peniaga barangan terpakai berhubung penipuan menggunakan nama pertubuhan itu untuk meminta sumbangan wang.

"Mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai di jabatan kerajaan dengan tujuan meminta sumbangan ke tabung Perqaseh pada awal April lalu.

"Mangsa dijanjikan dengan membuat sumbangan, ia akan memudahkan mangsa mendapatkan lesen bagi menjalankan perniagaan barangan lusuh," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, sejak April sehingga September 2021, mangsa telah membuat tiga transaksi berjumlah keseluruhan RM15,000 dalam bentuk tunai kepada empat individu yang mengaku sebagai wakil Perqaseh.

"Mangsa sedar dirinya ditipu kerana masih tidak menerima lesen seperti dijanjikan.

"Siasatan awal dijalankan juga mengesahkan pihak Perqaseh tidak menerima sebarang sumbangan dalam bentuk tunai," jelas beliau.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, orang ramai juga diingatkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah melantik mana-mana individu, syarikat atau persatuan, malah tidak pernah menetapkan sebarang sumbangan untuk menerima, memproses atau meluluskan permohonan bagi mendapatkan lesen barangan lusuh.

"Orang ramai dinasihatkan supaya membuat permohonan lesen mengikut saluran ditetapkan dan tidak melalui individu atau pertubuhan tertentu," katanya.