Antivaksin boleh dipenjara, denda RM50,000 kerana sebar berita palsu

Pakar menyokong tindakan KKM yang membuat laporan polis terhadap golongan antivaksin. (Gambar kecil, Khairil Azmin)
Pakar menyokong tindakan KKM yang membuat laporan polis terhadap golongan antivaksin. (Gambar kecil, Khairil Azmin)
A
A
A

SHAH ALAM - Kebebasan bersuara rakyat Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan mempunyai had dan tidak sesekali melindungi aktiviti penyebaran berita palsu serta fitnah terhadap pihak berkuasa, kerajaan mahupun individu.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, setiap negara mempunyai batasan atau sekatan yang sama terhadap kebebasan bersuara.

Beliau berkata, sebarang kenyataan palsu atau fitnah yang didorong oleh niat jahat akan berhadapan tindakan undang-undang.

Katanya, ini termasuk penyebaran maklumat palsu berkenaan vaksin Covid-19 sama ada menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau media sosial oleh golongan antivaksin di mana mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Sekiranya didapati bersalah, golongan tersebut boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun, atau kedua-duanya," katanya.

Menurutnya, individu yang cuba untuk memutar belit fakta dan salah lapor maklumat dengan sengaja biasanya dibuat dengan niat dan tujuan jahat tertentu.

“Ini pastinya akan menggugat ketenangan dan ketenteraman awam, malah dikhuatiri menimbulkan kemarahan serta ketegangan dengan pihak kesihatan yang berusaha memelihara kesihatan awam.

“Kita tidak mahu usaha kerajaan untuk mengatasi pandemik Covid-19 terhalang disebabkan oleh fakta dan berita yang palsu atau diputar belit.

Artikel Berkaitan:

“Biasanya antivaksin ini akan menyebarkan maklumat palsu melalui media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Telegram hingga menyebabkan perkara yang tidak betul pun akan berkembang dengan meluas, akhirnya berlaku salah faham,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Khairil Azmin turut mengakui bahawa berita palsu yang dikeluarkan akan memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan setiap rakyat di negara ini menerima vaksinasi lengkap.

“Contohnya, kita lihat masih ada yang mempertikaikan dan menafikan hasil penyelidikan vaksin yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka akan cuba untuk menularkan dan mensensasikan laporan palsu serta negatif berkaitan vaksin untuk mengubah pendirian individu lain.

“Ini sekali gus membuat ramai rakyat berbelah bahagi dan menjatuhkan keyakinan mereka terhadap pengambilan vaksin Covid-19,” jelasnya.

Pada Jumaat, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam ciapan di Twitter menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan dakwaan dan berita palsu mengenai vaksin Covid-19.

Khairy turut memaklumkan bahawa KKM sudah mengambil langkah dengan membuat beberapa laporan polis terhadap golongan tersebut.

Mengulas lanjut, Khairil Azmin berkata, kerjasama yang lebih proaktif melibatkan organisasi-organisasi berkaitan perlu dijalankan segera bagi mengekang tindakan kumpulan antivaksin yang dilihat semakin berani dan keterlaluan.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh meningkatkan lagi usaha dan kerjasama mengekang penyebaran berita palsu terutama berkaitan vaksin Covid-19 menggunakan kuasa dan undang-undang sedia ada.

“Mungkin KDN juga boleh bekerjasama dengan KKM kerana isu ini turut melibatkan hal berkaitan penyelidikan perubatan dan kesihatan.

“Malah pihak berkuasa agama juga boleh memainkan peranan kerana terdapat dakyah palsu membabitkan isu halal dan haram serta hukum syariah berkaitan vaksin Covid-19,” ujar beliau.