X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Kapal kargo Panama ditahan berlabuh tanpa kebenaran

Kapal kargo yang berlabuh secara haram ditahan di perairan Johor Timur pada Khamis.
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan sebuah kapal kargo yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur pada Khamis.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal kargo tanpa muatan itu ditahan pada jam 10.03 pagi pada kedudukan 9.1 batu nautika di timur Tanjung

Penawar.

Beliau berkata, kapal kargo yang berdaftar di Panama dikendalikan oleh 24 kru warga China, Indonesia dan Vietnam berumur di antara 18 tahun hingga 58 tahun bagaimanapun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Semasa pemeriksaan dilakukan, nakhoda kapal didapati telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

"Selain itu, nakhoda kapal menyatakan alasan bersauh di posisi tersebut atas arahan ejen kapal, sementara menunggu arahan pelayaran selanjutnya," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nurul Hizam berkata, kapal terbabit ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

"Sekiranya didapati bersalah boleh di denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pihak pemilik dan nakhoda kapal perlu mengambil serius mengenai kesalahan bersauh tanpa kebenaran bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!