Remaja perempuan 14 tahun hilang selepas keluar bermain bola keranjang

NILAI - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Melati, Ulu Beranang, Lenggeng, di sini pada 18 November lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Chen Youki pada 21 November kira-kira jam 9.46 malam.
"Berdasarkan laporan polis, remaja berkenaan keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang untuk bermain bola keranjang bersama rakan-rakannya.
"Ketika keluar, remaja itu memakai kemeja putih dan seluar pendek," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Bagaimanapun katanya, sehingga laporan polis dibuat, remaja berkenaan masih belum pulang ke rumah, manakala panggilan telefon daripada ahli keluarganya tidak dijawab.
Ujarnya, polis sedang menjalankan usaha mengesan remaja terbabit dan orang ramai yang melihatnya atau mempunyai maklumat mengenai keberadaannya diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

