Telus bentang butiran belian vaksin Covid-19 guna dana KWAN

Hantaran di Facebook Nik Nazmi pada Rabu.
Hantaran di Facebook Nik Nazmi pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa agar bersikap lebih terbuka dan telus dengan membentangkan butiran perbelanjaan pembelian vaksin yang menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) kepada umum.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pembentangan perbelanjaan pembelian vaksin itu sebagaimana yang ditegaskan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak berlaku penyelewengan, ketirisan dan pembaziran dalam kerajaan mendapatkan bekalan vaksin.

"Namun, sehingga kini tiada apa-apa maklumat terperinci untuk disemak mengenai perkara ini, walhal ia berkaitan status kewangan awam.

"Justeru, kerajaan perlu bersikap terbuka, bertanggungjawab dan telus dengan membentangkan butiran-butiran perbelanjaan pembelian vaksin kepada pengetahuan umum.

"Rakyat harus mengetahui ke mana setiap aliran dana KWAN ini digunakan. Adakah ia dimanfaatkan sepenuhnya atau adakah terdapat ketirisan di sebalik pengeluarannya," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Rabu.

Pada 21 April lalu, kerajaan Perikatan Nasional ketika itu telah mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) yang membolehkan kerajaan menggunakan dana kumpulan wang itu untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Mengikut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.

Artikel Berkaitan: