X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Projek Perkongsian Ruang di Kampung Baru dilaksana awal 2022

Shahidan
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan Projek Perkongsian Ruang (Shared Space) di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini, pada awal tahun depan dan dijangka siap selewatnya awal tahun 2023.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, projek itu akan menjadi pemangkin pertumbuhan produk pelancongan di Kampung Baru selain berupaya menangani masalah lain seperti kesesakan lalu lintas, peniaga/penjaja, kebersihan dan keindahan di sepanjang laluan berkenaan.

“Sebagai perintis, Jalan Raja Muda Musa akan dinaik taraf bagi fasa pertama dan proses tendernya akan dilaksanakan bulan ini manakala projek di tapak dijangka bermula awal tahun depan. Projek ini juga akan merancakkan lagi aktiviti syurga makanan di sepanjang laluan Jalan Raja Muda Musa dan Jalan Raja Alang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Shahidan berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk menyediakan 1,000 kios dan ruang niaga di bawah Program Usahawan Anak Muda Kota di Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula tahun lepas hingga 2023.

“Sehingga September lepas, sebanyak 126 usahawan telah memulakan perniagaan manakala 2,268 calon telah mendaftar di bawah program ini.

“DBKL juga merancang untuk mengadakan Program Pementoran Usahawan dengan beberapa langkah perlu dikenal pasti untuk meningkatkan lagi kadar pendigitalan perniagaan dalam memastikan mereka dapat beroperasi dengan mampan,” katanya.

Beliau berharap pelaksanaan program dan projek yang teratur dan berkesan seumpama ini dijangka berupaya memberikan impak positif dalam usaha merancakkan kembali ekonomi serta menangani masalah kemiskinan dalam kalangan Keluarga Malaysia yang terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!