2,300 botol perisa vape cuba seludup dirampas

Antara perisa vape yang dirampas di Pengkalan Haram Tebu, Lubok Gong, awal pagi Rabu.
Antara perisa vape yang dirampas di Pengkalan Haram Tebu, Lubok Gong, awal pagi Rabu.
A
A
A

PASIR MAS - Sebanyak 2,300 botol perisa rokok elektronik atau vape bernilai RM230,000 dirampas dalam satu serbuan yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan di Pengkalan Haram Tebu, Lubok Gong, awal pagi Rabu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa membuat rondaan di kawasan berkenaan, pihaknya menemui dua lelaki sedang memunggah beberapa kotak ke dalam bot di pengkalan haram tersebut.

"Apabila kami menghampiri sambil memperkenalkan diri sebagai anggota polis, kedua-dua lelaki berkenaan telah bertindak melarikan diri ke negara jiran dengan menyeberangi sungai.

"Pemeriksaan awal telah menjumpai beberapa kotak yang berisi pelbagai jenis perisa vape. Selepas menunggu setengah jam, tiada siapa yang datang menuntut dan barang yang ditemui itu dirampas untuk pemeriksaan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Azhari, pihaknya mengesyaki kesemua perisa vape tersebut hendak diseludup ke negara jiran melalui pengkalan haram berkenaan dengan menggunakan bot.

Beliau berkata, barangan yang dirampas akan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.

Artikel Berkaitan: