Kastam rampas 86 e-bike tanpa kelulusan SIRIM bernilai RM268,279

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) merampas 86 unit basikal elektrik (e-bike) tanpa kelulusan SIRIM dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai berjumlah RM268,279.
Pengarah Kastam WPKL, Wan Norizan Wan Daud, berkata rampasan dilakukan menerusi Ops Piawai E-Mobiliti yang dilaksanakan dengan kerjasama SIRIM Berhad pada 27 hingga 30 Oktober lalu.
“Hasil pemeriksaan rapi di sembilan premis di sekitar Lembah Klang berjaya menemukan pelbagai jenis dan jenama basikal elektrik yang diimport tanpa kelulusan SIRIM serta perakuan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).
“Keseluruhan barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM211,578, manakala jumlah duti dan cukai terlibat sebanyak RM56,701,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak sembilan kertas siasatan dibuka, manakala sembilan wakil syarikat dipanggil bagi membantu siasatan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati basikal elektrik tersebut disyaki dibawa masuk ke Malaysia tanpa mematuhi syarat pengimportan yang ditetapkan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” ujarnya.
Sementara itu, Eksekutif Pengujian SIRIM, Azlie Ahmad, menjelaskan bahawa pengujian basikal elektrik dilaksanakan berdasarkan piawaian MS 2514 bagi memastikan ciri keselamatan kenderaan berkenaan dipatuhi serta menjamin keselamatan pengguna.
"Basikal elektrik tertakluk kepada larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan memerlukan permit import yang dikeluarkan oleh MITI," tegasnya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Sehubungan itu, JKDM menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.
JKDM turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
