Pemandu Tesla mengaku salah pandu berbahaya sebabkan kematian Noor Lela

KULIM - Seorang jurutera kilang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, Isnin lalu.
Tertuduh, N Dinendran, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta elektrik jenis Tesla secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Noor Lela Zainon, 39.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Lampu Isyarat Simpang Empat Kilang Schott, Taman Teknologi Tinggi Kulim pada jam 11.50 malam, 23 November lalu.

Akibat perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Fadilla Mohamad Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) V Nyanasegaran.
Pihak pendakwaan kemudian memohon supaya hukuman ditangguhkan bagi mendapatkan laporan penuh keputusan bedah siasat dan laporan kimia dengan menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Nyanasegaran memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan RM4,000 sebulan selain menyesal dengan kejadian yang berlaku.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan dibenarkan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, lesen digantung dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan 11 Januari 2027 bagi menunggu laporan bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan seorang pekerja kilang maut selepas kereta Proton Saga dipandunya dirempuh sebuah kenderaan elektrik yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

