Tiga tan dadah diseludup menerusi dua pangkalan TUDM sejak 2024 - Saifuddin

KUALA LUMPUR - Tiga tan dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM156 juta dikenal pasti telah diseludup keluar melalui dua pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024, Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kegiatan itu dikesan menerusi risikan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mengenal pasti 21 transaksi penyeludupan dadah dilakukan melalui kedua-dua pangkalan berkenaan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 14 transaksi dari Pangkalan TUDM Labuan melibatkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta, manakala tujuh lagi melalui Pangkalan TUDM Tawau, Sabah membabitkan 1.8 tan dadah bernilai RM93 juta.
"Methamphetamine ini pengambilannya perlu 0.02 gram (g) sahaja, jadi kalau nilai tangkapan ini sahaja sudah tiga tan, bahan ini mampu memberikan bekalan kepada 15 juta orang. Tetapi, kalau seseorang itu ambil 0.05 g untuk lagi kick, kesannya masih tinggi melibatkan enam juta orang.
"Jadi, bayangkan kalau kita tak lumpuhkan kegiatan ini, mangsanya itu berjuta-juta orang,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) tentang kaedah sindiket penyeludupan dadah mengeksploitasi kemudahan penerbangan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan memandang serius perkara berkenaan yang melibatkan sindiket jenayah terancang, dengan elemen eksploitasi personel, kemudahan, aset dan infrastruktur strategik negara termasuk fasiliti penerbangan tentera udara.
Beliau berkata, pihak berkuasa akan meluaskan siasatan untuk mengenal pasti penglibatan seluruh organisasi dan peranan setiap individu yang terlibat, sambil menegaskan bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang termasuk individu berkedudukan, sekiranya didapati bersalah.
"Hal ini bukan saja soal kesalahan jenayah yang serius, malah boleh menjejaskan integriti institusi keselamatan dan pertahanan. Ketua sindiket masih bebas, tetapi kita dah kenal pasti. Saya yakin dalam sedikit masa ini kita akan berjaya tangkap dan siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
"Setakat ini, predikat hala tuju siasatan menuju kepada jenayah terancang dan sebagainya … SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-Langkah Khas] 2012) juga akan kita gunakan," katanya.
Saifuddin Nasution berkata, hingga kini, sebanyak 13 individu telah ditahan termasuk tujuh pegawai TUDM, lima pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat serta enam orang awam, selain melibatkan rampasan 96.64 kilogram (kg) methamphetamine bernilai RM4.83 juta serta sitaan terhadap tiga kenderaan dengan nilai RM172,062.
"Setakat siasatan ini, walaupun intipan kita bermula pada Januari 2026, hasil siasatan awal menunjukkan bahawa kegiatan ini sudah bermula beberapa tahun ke belakang, sebelum itu lagi, dan melibatkan satu sindiket besar yang established.
"Sebahagian daripadanya kita dah tangkap, dah tuduh, dah penjara. Sebahagiannya masih bebas dan kita juga membuka skop siasatan termasuk kegiatan ini menjadi perniagaan yang sangat menguntungkan," katanya.
Beliau berkata, harga bagi 1 kg methamphetamine di pasaran tempatan kira-kira RM50,000 dan boleh mencecah hingga RM450,000 sekilogram di pasaran antarabangsa.
Menjawab soalan cara sindiket ini mengeksploitasi kemudahan penerbangan tentera, Saifuddin Nasution berkata, siasatan awal mendapati terdapat penglibatan individu yang mempunyai akses dan hubungan dengan personel dan operasi penerbangan tentera.
"Kita percaya perkara ini menjadi permulaan bagi membuka ruang kepada sindiket untuk menggunakan kemudahan tersebut bagi tujuan penyeludupan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
