Empat lelaki ditahan, ganja bernilai RM77,630 dirampas

15 bungkusan plastik lut sinar berisi tumbuhan-tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 15,028 gram. - Foto Ihsan polis.
15 bungkusan plastik lut sinar berisi tumbuhan-tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 15,028 gram. - Foto Ihsan polis.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis merampas dadah jenis ganja seberat 25,042 gram dengan nilai RM77,630 selepas menahan empat lelaki dalam dua serbuan berasingan di Alor Setar dan Sungai Petani pada Isnin dan Selasa.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, mereka disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan serbuan pertama dilakukan di tempat letak kereta sebuah restoran di hadapan sebuah hospital, di Jalan Langgar, dekat sini pada Isnin.

Menurutnya, dalam serbuan jam 10.30 malam itu, pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah memeriksa sebuah kereta jenis Perodua yang dinaiki dua lelaki.

"Pemeriksaan tempat duduk penumpang hadapan menemui sebuah beg hitam yang di dalamnya mengandungi lima ketulan mampat plastik lut sinar berisi tumbuhan- tumbuhan kering disyaki dadah ganja anggaran berat 5,010 gram.

"Kesemua dadah jenis ganja berkenaan dirampas dan dua lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Wan Hassan, dalam serbuan berasingan pada Selasa pula polis berjaya menahan dua lelaki yang menaiki motosikal jenis honda EX5 biru di tepi Jalan Lorong Seruling, Taman Seruling, Sungai Petani pada jam 12.40 petang.

Menurutnya, pemeriksaan pada beg hitam yang diletakkan di atas tanah oleh dua lelaki itu didapati mengandungi lima ketulan mampat plastik lut sinar berisi tumbuhan-tumbuhan kering disyaki dadah ganja anggaran berat 5,004 gram.

"Dua lelaki tersebut ditahan manakala ganja berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut," ujar beliau.

Susulan hasil soal siasat ke atas tangkapan pada hari sama, polis kemudiannya melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Proton yang diletakkan di tepi Lorong Kawasan Perumahan Kampung Batu 2 di Sungai Petani pada jam 1.20 petang.

Menurutnya, pemeriksaan rapi terhadap kenderaan tersebut menemui 15 bungkusan plastik lut sinar berisi tumbuhan-tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 15,028 gram di ruangan khas di belakang kusyen penumpang kereta terbabit.

"Semua tangkapan direman selama tujuh hari sehingga 29 Mei ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jumlah rampasan dadah ganja pula adalah sebanyak 25,042 gram dan nilai rampasan dadah RM 77,630 manakala nilai sitaan harta RM4,109," kata Wan Hassan Lagi.