Sindiket dadah TUDM: 'Tidak terlepas walau apa pun jawatan, kedudukan' - Saifuddin

KUALA LUMPUR – Individu berpengaruh dan mereka yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya terbukti terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah yang mengeksploitasi kemudahan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu yang berpotensi terlibat dalam kegiatan jenayah terancang itu dan siasatan akan diperluaskan bagi membongkar keseluruhan rangkaian sindiket berkenaan.
Menurutnya, kerajaan memberi jaminan bahawa mana-mana individu yang ditangkap tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang tanpa mengira jawatan atau kedudukan mereka.
"Saya beri jaminan bahawa sesiapa pun yang ditangkap dalam beberapa hari akan datang tidak akan terlepas daripada tindakan, tidak kira apa jua jawatan atau kedudukan mereka.
"Berdasarkan taklimat awal yang diberikan kepada saya, terdapat beberapa nama yang berpotensi terlibat, termasuk individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat, dan tindakan akan diambil terhadap mereka," katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang meminta penjelasan mengenai bagaimana sindiket penyeludupan dadah dapat mengeksploitasi kemudahan penerbangan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa.
Ronald turut bertanya mengenai langkah kerajaan bagi memperketat kawalan keselamatan aset ketenteraan serta membanteras penyusupan sindiket jenayah terancang ke dalam institusi pertahanan negara.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 itu akan diperluaskan kepada elemen jenayah terancang, termasuk penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Pada masa ini, siasatan masih berjalan. Namun, jika terdapat unsur jenayah terancang, kita akan menggunakan segala peruntukan undang-undang yang berkaitan, termasuk SOSMA.
"Kita akan memperluaskan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan organisasi sindiket ini serta peranan setiap individu yang terlibat, termasuk pembiaya, perancang, pengangkut dan penghantar dadah," katanya.
Beliau menegaskan kerajaan memandang serius insiden tersebut kerana membabitkan eksploitasi personel, kemudahan, aset dan infrastruktur strategik negara, termasuk fasiliti penerbangan TUDM.
"Ini bukan sahaja melibatkan kesalahan jenayah yang serius, malah berpotensi menjejaskan integriti institusi keselamatan dan pertahanan negara," tegas beliau.
Menurutnya, dalam operasi yang dijalankan pada 17 dan 19 November lalu, seramai 13 individu ditahan termasuk tujuh anggota TUDM yang terdiri daripada lima pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat serta enam orang awam.
"Kita merampas 96.64 kilogram metamfetamin bernilai RM4.83 juta dan ketua sindiket masih bebas. Kita telah mengenal pasti individu berkenaan dan saya yakin tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.
Saifuddin berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu mengeksploitasi kemudahan penerbangan tentera melalui individu yang mempunyai akses kepada operasi penerbangan TUDM.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sindiket berkenaan merupakan rangkaian jenayah besar yang telah lama bertapak, dengan sebahagian ahlinya telah ditangkap, didakwa dan dipenjarakan, manakala selebihnya masih bebas.
Menurutnya, kegiatan itu dipercayai didorong oleh keuntungan lumayan apabila harga metamfetamin mencecah RM50,000 sekilogram di pasaran tempatan, RM250,000 sekilogram di Indonesia dan sehingga RM450,000 sekilogram di pasaran antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

