X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Kerja penyenggaraan LRA SSP1 bermula

Notis makluman dari Air Selangor di Facebook pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dimulakan pada jam 9 pagi pada Rabu mengikut jadual seperti yang diumumkan pada 1 Oktober 2021.

Air Selangor menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, kerja-kerja penyenggaraan aset utama tersebut dijangka siap pada jam 11 malam pada Rabu.

Menurut hantaran tersebut, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna bermula jam 5 petang pada Khamis setelah sistem bekalan air distabilkan.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam pada Sabtu ini," katanya pada Rabu.

Sementara itu, Air Selangor turut memaklumkan bahawa orang ramai boleh mendapatkan senarai lengkap kawasan-kawasan yang terjejas, Pili Air Awam dan Stesen Pengisian Air Komersial di pautan hentitugas.airselangor.com.

Tambahnya, Air Selangor akan turut menyediakan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.

"Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penduduk di 998 kawasan di sekitar Lembah Klang disarankan untuk membuat persiapan bagi menghadapi gangguan bekalan air selama empat hari mulai Rabu.

Gangguan bekalan air bermula 9 pagi itu menjejaskan wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebelum ini memberitahu gangguan bekalan air itu susulan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas di LRA SSP1.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!