UMNO-Pas: Lihat kerjasama dari sudut positif

DATUK DR NAJMIL FAIZ MOHAMED ARIS
DATUK DR NAJMIL FAIZ MOHAMED ARIS
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas dilihat satu perkembangan positif bukan sahaja bagi penyatuan ummah, tapi demi keharmonian negara.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, apabila bangsa teras bersatu iaitu Melayu dan Islam, bukan sahaja bangsa Melayu terjaga, tetapi kaum lain akan turut menumpang nikmat dan terbela.

Menurutnya, ia terbukti melalui sejarah negara kerana apabila rakyat hidup bersatu dan tiada masalah, rasa ketidakpuasan hati, cemburu dan sebagainya tidak akan timbul dan ia akan membuatkan bangsa-bangsa lain turut mendapat nikmatnya.

“Kita perlu lihat kerjasama ini dari sudut positif. Lihat sahaja semasa BN memerintah, kita tidak meminggirkan bangsa lain. Sebagaimana kata Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mana kerjasama ini bukan bermaksud UMNO dan Pas bergabung.

“Sebaliknya ia satu ikatan untuk menyatukan ummah tanpa meminggirkan keseluruhan masyarakat termasuk kaum Cina dan India. Lagipun, daripada segi tuntutan agama sendiri, kita perlu bersatu,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai kerjasama itu yang mungkin akan menggugat persefahaman antara parti komponen lain iaitu MCA dan MIC, Najmil berkata, ia tidak seharusnya berlaku.

Dalam negara berbilang kaum katanya, secara warasnya, mana-mana parti termasuk UMNO dan Pas memerlukan suku kaum lain untuk membantu membina negara.

“Sudah tentu UMNO dan Pas tidak akan meminggirkan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kalau nak menang pilihan raya pun, kita tidak boleh menang tanpa bantuan bangsa lain, cuma di sesetengah tempat, kita boleh menang solid di kawasan Melayu kalau orang Melayu bersatu," katanya.

Jelasnya, kerjasama ini perlu difahami di mana ia adalah bersandarkan Islam dan Melayu kerana umat Islam di Malaysia berasakan mereka tergugat dengan apa yang berlaku pada hari ini.

“Kelemahan kerajaan yang ada kini menyebabkan banyak isu yang timbul.

"Dengan krisis orang hina agama dan nabi, memperlekehkan bangsa lain, ada pemimpin yang tak mempertahankan agama dan bangsa sendiri, ini yang menyebabkan rakyat semakin bimbang,” katanya.