72.7 peratus remaja di Johor terima vaksin

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 72.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri Johor telah lengkap menerima vaksin dos pertama dan kedua menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang dilaksanakan sejak 20 September lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyanathan berkata, jumlah itu melibatkan seramai 281,877 remaja daripada jumlah keseluruhan 358,437 remaja dianggarkan berada di negeri ini.

"Sejak PICK Remaja dilaksanakan di negeri ini bermula 20 September, kita telah merekodkan seramai 254,625 (70.7 peratus) remaja menerima vaksinasi dos pertama dan seramai 7,225 (dua peratus) telah lengkap dos kedua.

"Jumlah ini dijangka terus meningkat apabila dianggarkan 358,437 daripada 359,900 remaja di negeri ini telahpun mendaftar di aplikasi MySejahtera," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Vidyanathan berkata, PICK Remaja dilaksanakan di beberapa lokasi mengikut kategori melibatkan pemberian vaksin di sekolah, pusat pemberian vaksin (PPV) awam atau integrasi dan klinik swasta.

"Terdapat tiga kategori dalam pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 remaja iaitu janji temu melalui aplikasi MySejahtera dan vaksinasi berjadual dan secara 'walk in'. Untuk kategori ini, kita sudah sediakan golongan sasar bagi memastikan ia berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, program vaksinasi bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas pula merekodkan seramai 2.79 juta (93.8 peratus) telah menerima dos pertama dan 2.31 juta (85.3 peratus) telah lengkap menerima dos kedua.

Katanya, kerajaan negeri sehingga kini sentiasa optimis dalam membantu kerajaan Persekutuan menuju fasa endemik Covid-19 dengan pelbagai perancangan sedang dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi menuju ke arah fasa endemik Covid-19, kita dapati terdapat keperluan bagi membuat pengurusan berpusat (desentralisasi) pesakit Covid-19 termasuk Pusat Penilaian Covid-19 (CAC). Sehubungan itu, akan terdapat perubahan tempat operasi CAC di Johor Bahru.

"Untuk usaha ini, dua lokasi CAC sedia ada iaitu CAC Bukit Indah dan CAC Pasir Gudang akan ditutup bermula 9 Oktober 2021 ini dan akan dibuka di klinik-klinik kesihatan yang ditetapkan," katanya.