Sekolah agama 'tenat', perlu peruntukan lebih besar

Ahmad Shauqie (kanan) bersama Mukhriz (dua dari kanan) ketika meninjau operasi maahad tahfiz di Jitra sebelum ini.
Ahmad Shauqie (kanan) bersama Mukhriz (dua dari kanan) ketika meninjau operasi maahad tahfiz di Jitra sebelum ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan digesa menyalurkan bantuan lebih besar kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), sekolah tahfiz dan pondok yang kini berdepan masalah kewangan akibat tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda Kedah, Ahmad Shauqie Syeikh Muhamad Baderudin berkata, peruntukan disalurkan kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta untuk diagihkan kepada SAR, sekolah tahfiz dan pondok berdaftar tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan keperluan.

Menurutnya, institusi pengajian agama itu semakin tenat kerana kekurangan dana untuk menguruskan sekolah selain membayar gaji guru, sedangkan peruntukan RM15 juta diberikan kepada Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mewakili sekolah persendirian Cina.

“Berapa peruntukan diberikan setiap sekolah agama? Peruntukan tersebut hanya untuk selenggara dan naik taraf sekolah, sedangkan gaji guru dan kakitangan sekolah setiap bulan perlu dibayar. Dari mana sekolah hendak cari duit?

"Kalau dicongak, setiap SAR, sekolah tahfiz dan pondok akan terima tidak sampai RM100,000 daripada keseluruhan RM100 juta itu. Sungguh mengecewakan,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Rabu.

Ahmad Shauqie berkata, berbanding peruntukan disalurkan kepada 63 sekolah persendirian Cina yang menerima bantuan RM15 juta, yang mana setiap sekolah terbabit menerima sekitar RM230,000.

“Seolah sekolah agama dianaktirikan oleh kerajaan dan ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan kerajaan yang memerintah hari ini adalah Melayu Islam.

"Setahu saya, pelbagai saluran digunakan oleh sekolah agama berkenaan untuk mohon bantuan tetapi belum mendapat perhatian kerajaan Persekutuan mahupun negeri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya berharap kerajaan Persekutuan dan negeri turun padang meninjau keperitan sekolah agama yang mana kedudukan kewangan sudah tenat.

“Hendak bayar gaji pun kena berhutang, sehingga ada sekolah terpaksa potong gaji guru dan catu makanan. Pentadbir sekolah sudah tidak mampu tanggung kos operasi.

"Di mana suara pimpinan Pas yang sebelum ini sering memperjuangkan nasib sekolah ini, malah lantang mendesak supaya Dong Zong diharamkan. Kini mereka bisu, ibarat perjuangan mereka sebelum ini hanyalah retorik politik,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shauqie turut kesal apabila Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor hanya menyalurkan bantuan ‘one-off’ RM5,000 kepada sekolah agama di Kedah ketika Ramadan lalu.

“Itu cukuplah untuk bayar bil elektrik. Bagaimana dengan bantuan lain termasuk kos pengurusan SAR, sekolah tahfiz dan pondok yang banyak di Kedah?

"Alangkah bagusnya jika Muhammad Sanusi memanfaatkan kecekapan beliau dalam mencari penyelesaian tuntas kepada dilema dihadapi institusi pengajian agama ini,” katanya.

Katanya, ketika Kedah ditadbir bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, antara inisiatif bagi membantu sekolah agama termasuk memohon dana tambahan daripada Menteri Agama ketika itu untuk melancarkan operasi, mewujudkan Yayasan Pendidikan Islam Darul Aman (YPIDA) untuk memartabatkan institusi pendidikan Islam di Kedah serta Skim Takaful Murabbi diperkenalkan bagi melindungi tenaga pengajar sekolah agama.