Pengarah menitis air mata bebas tuduhan pecah amanah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat yang juga pengurus sebuah restoran makanan Jepun menitiskan air mata di kandang tertuduh sejurus dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikatnya lebih RM9,000.

Wanita itu, Lam Ee Von, 38, yang memakai blaus hitam dan kelihatan muram ketika menunggu prosiding bermula akhirnya tersenyum selepas Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin memutuskan pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Sebelum membacakan keputusan, Hakim Zainal Abidin turut memberi petanda positif kepada Ee Von yang kelihatan gusar dengan memberitahu, “jangan bimbang, orang yang baik akan mendapat balasan yang baik”.

Dalam penghakimannya, Hakim Zainal Abidin berkata keterangan saksi pendakwaan jelas menunjukkan transaksi yang dilakukan tertuduh (memindahkan wang dari akaun syarikat ke dalam akaun peribadinya) bertujuan memudahkan urusan pembayaran kepada pembekal, menjimatkan masa dan merupakan transaksi biasa dalam pengurusan perniagaan.

“Malahan dalam keterangan, diberitahu pemindahan wang itu adalah bayaran pendahuluan untuk tunai runcit serta keperluan runcit. Tertuduh bukannya seorang yang baru dalam dunia perniagaan tetapi mempunyai pengalaman luas, apa yang dilakukan tertuduh bukan satu perkara ganjil kerana dalam dunia perniagaan masa itu emas,” kata hakim itu.

Ee Von sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, sebagai seorang ejen iaitu Pengarah Big E Harvest Sdn Bhd, diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang syarikat telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas wang itu yang tertuduh telah dengan curangnya memindahkan wang syarikat yang masing-masing berjumlah RM6,070.90 dan RM3,000 dari akaun Hong Leong Bank ke dalam akaun Maybank miliknya.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di syarikat Big E Harvest Sdn Bhd, The Waterfront @ Desa Park City, No 5, Persiaran Residen Desa Park City, di sini pada 28 Disember 2016 dan 17 Mac 2017.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Artikel Berkaitan:

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk Ee Von dipanggil membela diri pada perbicaraan yang bermula 27 Jun 2018.

Pendakwaan dikendalikan Timbakan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi manakala tertuduh diwakili peguam K. Ragunath. - Bernama