X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Abdul Azeez akan dapat perbicaraan adil

Abdul Azeez - Foto fail Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Tidak wujud ketidakadilan terhadap bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram kerana pihak pendakwaan akan memastikan beliau mendapat perbicaraan yang adil, Mahkamah Rayuan diberitahu pada Rabu.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Aslinda Ahad berhujah pihak pendakwaan akan memanggil saksi dan akan membuktikan kes itu berdasarkan keterangan dan saksi pendakwaan juga akan tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh peguam Abdul Azeez.

Beliau berkata, tidak wujud ketidakadilan atau prejudis terhadap Abdul Azeez di mana-mana peringkat kerana beliau tidak dinafikan untuk mendapat perbicaraan yang adil.

“Pendakwa raya akan pastikan satu perbicaraan yang adil akan dijalankan terhadap perayu,” katanya.

Aslinda berhujah dalam rayuan yang dikemukakan oleh Abdul Azeez terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau pada 12 Mac lepas untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM5.2 juta yang mempunyai kaitan dengan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta yang didakwa diterimanya daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Beliau berkata, pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Abdul Azeez tidak cacat.

Aslinda berkata, tidak perlu dinyatakan dalam kertas pertuduhan apakah aktiviti haram yang dihadapi Abdul Azeez berhubung pertuduhan pengubahan wang haram.

Beliau berkata, pertuduhan pengubahan wang haram itu boleh bertahan sambil menambah pihak pendakwaan melalui keterangan saksi akan menjelaskan apakah aktiviti yang menyalahi undang-undang itu.

Mengenai pertuduhan rasuah terhadap Abdul Azeez, Aslinda berkata, dia menghadapi tuduhan rasuah dan pengubahan wang tunai untuk empat projek.

Sementara itu, Abdul Azeez yang diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dalam jawapannya berkata, anak guamnya adalah mangsa pendakwaan politik dan keseluruhan perbicaraan tidak boleh dibenarkan untuk diteruskan kerana ia adalah tidak adil bagi beliau.

Beliau berkata, perincian pertuduhan tidak dipenuhi iaitu kekurangan butiran dan menambah bahawa mahkamah tidak boleh membenarkan pertuduhan itu bertahan.

Bagi pertuduhan rasuah, Abdul Azeez, 55, didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010 dan Affin Bank, Puchong City Centre, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Di akhir pendengaran rayuan itu, Amer Hamzah berkata, beliau menerima arahan daripada anak guamnya yang memohon kebenaran mahkamah secara peribadi untuk bercakap.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said berkata, berdasarkan pertuduhan itu, Abdul Azeez adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, jadi tidak perlu memberi penjelasan sambil menambah adalah lebih baik untuk tidak bersuara pada ketika ini.

Selepas pihak pembelaan dan pendakwaan selesai berhujah, Hakim Kamaludin yang bersidang bersama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, menangguhkan keputusan ke tarikh yang ditetapkan kemudian.

Pada 6 September lalu mahkamah telah mendengar rayuan itu dan pada Rabu ditetapkan untuk menyambung pendengaran rayuan itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!