9 syarikat pengilangan asing tamat operasi: MITI

Ban Hong. - Foto fail Bernama
Ban Hong. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak sembilan syarikat pengilangan asing telah menamatkan operasi masing-masing di negara ini bagi tempoh Mac 2020 hingga Mei 2021 berikutan impak pandemik Covid-19 yang telah mengubah lanskap pelaburan dunia termasuk Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong berkata, kilang tersebut membabitkan sektor termasuk tekstil, besi keluli dan jentera, bahan kimia, bahan binaan, elektrik dan elektronik.

Menurutnya, antara faktor yang dikenal pasti bagi penamatan (operasi) itu adalah penguncupan ekonomi global akibat pandemik, kelemahan pasaran akibat penurunan jualan dan permintaan di luar negara.

“Faktor lain adalah peningkatan kos operasi pengeluar sama, tiada permintaan bagi produk dikeluarkan serta (pelaksanaan langkah) penstrukturan semula,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai jumlah pelabur asing yang telah bertindak menamatkan perniagaan masing-masing ketika tempoh pandemik.

Ban Hong bagaimanapun menegaskan penutupan operasi kilang-kilang tersebut tidak menjejaskan Malaysia yang kekal sebagai destinasi pelaburan utama bagi pelabur di rantau ini.

Malah, katanya, ini terbukti apabila jumlah pelaburan bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 melonjak sebanyak 69.8 peratus tahun ke tahun kepada RM107.5 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, pelaburan asing langsung (FDI) menyumbang RM62.5 bilion iaitu melonjak 214.9 peratus tahun ke tahun berbanding tempoh sama tahun lepas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mengulas mengenai pelaburan syarikat tenaga solar China, Risen Energy Co Ltd di Kedah, Ban Hong berkata, pelaburan tersebut akan dijalankan secara berperingkat dan merangkumi pelbagai aspek.

Menurutnya, ini berikutan bagi satu-satu pelaburan itu, jumlahnya bukan setakat pembelian aset tanah tetapi turut melibatkan pembelian aset mesin dan penggunaan teknologi tinggi berikutan syarikat berkenaan menggunakan teknologi solar yang canggih.

Beliau menjawab soalan tambahan oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) mengenai pelaburan Risen Energy berjumlah RM42.2 bilion bagi tempoh 15 tahun dan sama ada angka itu bagi tahun pertama serta kewajaran pelaburan yang melibatkan kawasan seluas 19.4 hektar atau pada RM880 juta 0.4 hektar. - Bernama