Sila log masuk terlebih dahulu.

MyCC teliti sama ada wujud kartel sektor pengangkutan

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan menggunakan kuasanya sebagai agensi penguatkuasa untuk menentukan sama ada wujud kartel dalam ekosistem logistik pelabuhan dan waranti kenderaan bermotor, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, MyCC akan meneliti tingkah laku anti-persaingan berkaitan caj tanah, caj perkapalan, caj depot (DGC) dan faktor penyesuaian bahan bakar seperti yang disyorkan dalam Kajian Semula Pasaran Sektor Pengangkutan di Malaysia (Ekosistem Logistik Pelabuhan dan Waranti Kenderaan Bermotor) di bawah Akta Persaingan 2010 yang dikeluarkan pada Selasa.

"Perjanjian konsesi untuk operator pelabuhan juga dapat dikaji bagi mencapai peralihan dasar dalam memastikan persaingan di pasaran yang relevan," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Nanta berkata, wujud juga keperluan untuk memperbetulkan isu melibatkan pengawalseliaan dan yang didorong oleh pasaran berkaitan prosedur kastam, kerangka peraturan, penyeragaman dan pelesenan penggiat ‘off-dock dan on-dock’ serta memperkukuhkan kawalan penggabungan dan pengambilalihan.

Beliau berkata, MyCC juga akan menguatkuasakan dalam menentukan sama ada urus niaga oleh pengeluar kereta dalam industri pembaikan menimbulkan isu persaingan.

"MyCC dalam kajian pasarannya juga telah mencadangkan ‘Lemon Law’ dan penambahbaikan lain pada proses waranti untuk melindungi kepentingan pemilik kenderaan," katanya.

‘Lemon law’ adalah undang-undang untuk mengukuhkan Akta Perlindungan Pengguna.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, terdapat kemungkinan tingkah laku dan penetapan harga seumpama kartel semasa DGC diperkenalkan dan urus niaga eksklusif antara syarikat perkapalan dan pengendali depot.

Artikel Berkaitan:

"Tingkah laku itu nampaknya wujud ketika pengendali depot bertindak melalui arahan oleh seseorang untuk bersetuju dan menetapkan caj DGC (RM5) semasa pengenalannya.

"Walaupun setiap depot beroperasi di lokasi geografi yang berbeza dan jumlah serta jumlah bersamaan dua puluh kaki (TEU) dan kapasiti yang berbeza, nampaknya trend menaikkan caj DGC adalah sama di beberapa pengendali depot," katanya.

Iskandar berkata, di bawah kajian terhadap waranti kenderaan bermotor, MyCC mendapati bahawa sekatan waranti yang dikenakan oleh pengeluar kereta mungkin dapat mencegah atau menyekat persaingan dalam industri pembaikan dan servis kereta.

"Klausa pengecualian dalam waranti berpotensi menyebabkan pasaran hanya melakukan penyitaan kepada bengkel francais dalam rangkaian pengeluar kereta.

"Kami juga menemui masalah yang berkaitan dengan perjanjian antara pengeluar kereta dan syarikat insurans yang menyebabkan penyitaan pasaran membaik pulih kereta yang terlibat dalam kemalangan," katanya. - Bernama