Kutipan sampah Pantai Remis meningkat tiga kali ganda

Rahilah (kiri) mengiringi Sze Han (kanan) semasa lawatan ke Pasar Awal Pasir Penambang, Kuala Selangor pada Selasa.
Rahilah (kiri) mengiringi Sze Han (kanan) semasa lawatan ke Pasar Awal Pasir Penambang, Kuala Selangor pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kutipan sampah di Pantai Remis, Jeram, di sini menunjukkan peningkatan tiga kali ganda berikutan kehadiran ramai pengunjung terutama pada cuti hujung minggu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat berkata, jumlah purata sampah dikutip di pantai itu hanya sekitar 100 kilogram sehari sebelum pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Kontraktor pembersihan sentiasa membuat pembersihan sejam sekali bagi mengelakkan pandangan tidak menarik di kawasan pantai ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han ke Pasar Awam Pasir Penambang, di sini pada Selasa.

Katanya, isu lambakan pembuangan sampah bukan sahaja berlaku di Pantai Remis, sebaliknya perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan di mana-mana sahaja tempat awam di negara ini.

"MPKS mengharapkan pengunjung sentiasa mengamalkan kesedaran sivik sepertimana jika ke negara Jepun yang mana penduduknya akan simpan sampah mereka dan tidak membuangnya di merata tempat," jelasnya.

Dalam pada itu, Rahilah berkata, pihaknya juga akan terus memantau pusat rekreasi itu yang ketika ini sesak dengan kehadiran pengunjung seawal pagi.

Katanya, pengunjung yang singgah ke pantai itu diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, tindakan penguatkuasaan secara berkala dilakukan selain kita turut melakukan rondaan bagi melihat kepatuhan orang ramai terhadap SOP.

"Sekiranya tiada kepatuhan SOP, pihak penguat kuasa MPKS akan mengambil tindakan termasuk mengenakan kompaun terhadap pengunjung yang melakukan kesalahan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, dua pusat pelancongan di daerah itu iaitu Bukit Melawati dan Pusat Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan dibuka kepada pengunjung.

Jelas beliau, Bukit Melawati telah dibuka kepada orang ramai pada Sabtu lalu, manakala pusat santuari pula dijadualkan pada Sabtu ini.

"Kita telah menaik taraf santuari bagi kerja pembaikan dengan kos sebanyak RM1.75 juta dan diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung," katanya.