PRN: Tak ramai pengunjung singgah beli itik salai

Zamri (kanan) dan Ruhaizi (kiri) mengakui jualan agak perlahan pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Zamri (kanan) dan Ruhaizi (kiri) mengakui jualan agak perlahan pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
A
A
A

KUALA PILAH - Jika sepanjang kempen pilihan raya sebelum ini umpama limpahan rezeki kepada peniaga itik salai di sini, namun berbeza pada pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.

Peniaga itik salai, Ruhaizi Dulmat, 47, berkata, walaupun banyak kenderaan melalui Jalan Kuala Pilah- Seremban, namun kurang pelanggan singgah di gerainya.

"Setakat ini jualan berkurangan. Orang ramai tetapi kuasa membeli itu tak ada.

"Minggu ini kurang pelanggan. Kalau hari biasa lagi tak ada orang," katanya ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Senada dengan Ruhaizi, Zamri Ismail, 58, berkata, hasil jualan pada hari Sabtu lebih baik berbanding enam hari lepas.

"Saya jual itik salai antara RM35 hingga RM45 seekor bergantung kepada saiz. Hari ini (Sabtu) jualan okay sebab saya ada buat tambahan jualan lemang.

"Justeru saya berharap pemimpin yang bakal diberi mandat nanti ini bantulah peniaga seperti kami ini menjana ekonomi sebab saya bergantung sepenuhnya dengan perniagaan ini sahaja," katanya.

Peniaga, Normah Lawati Abu Bakar, 49, juga mengakui jualan itik salainya agak perlahan walaupun dalam tempoh kempen PRN ini.

Artikel Berkaitan:

"Macam hari biasa jugalah, ada masa jualan bagus ada masa tidak. Tambahan pula harga barang banyak yang naik tak pula turun.

"Sebelum ini ada masalah bekalan itik sekarang harga barang pula. Kalau difikirkan sangat tertekan juga tetapi ini punca pendapatan kami, hendak tak hendak kena hadap demi kelangsungan hidup.

"Sebagai inisiatif lain, saya perbanyakkan jualan seperti telur asin, maman jeruk, petai, kerepek, sambal kering selain makanan salai," katanya.