[VIDEO] Jumlah dua kali ganda mohon Sahabat Maktab

Syed Saleh (depan, tengah) bersama jemaah haji yang terpilih menjadi Sahabat Maktab.
Syed Saleh (depan, tengah) bersama jemaah haji yang terpilih menjadi Sahabat Maktab.
A
A
A

MAKKAH - Tabung Haji (TH) menerima permohonan yang meningkat dua kali ganda daripada jemaah haji yang ditawarkan untuk menjadi Sahabat Maktab pada musim haji kali ini.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pada kali ini sejumlah 315 jemaah haji dipilih menjadi Sahabat Maktab.

Katanya, Sahabat Maktab ialah program yang telah diperkenalkan pada tahun 2006 berikutan keinginan dan kesediaan para jemaah haji untuk membantu rakan-rakan lain.

"Mereka akan bekerjasama dengan petugas haji untuk menguruskan dan memastikan kelancaran aktiviti para jemaah haji semasa di maktab penginapan serta pergerakan lebih teratur terutama ketika operasi Masya'ir," katanya.

Syed Saleh berkata demikian selepas Majlis Pelantikan Sahabat Maktab di sini pada Sabtu.

Syed Saleh
Syed Saleh

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, antara tugas Sahabat Maktab ialah membantu kelancaran operasi haji semasa di maktab khususnya semasa operasi Masya’ir di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Mereka juga katanya akan membantu jemaah haji yang baru tiba untuk menunaikan umrah pertama dan jemaah haji warga emas yang memerlukan bantuan.

Ujarnya, Sahabat Maktab juga sedia untuk menjalinkan hubungan dan kerjasama antara petugas haji di maktab dengan jemaah haji.

"Kriteria pemilihan pula adalah berdasarkan kepada wakil daripada setiap penerbangan supaya khidmat Sahabat Maktab berterusan sehingga operasi haji tamat.

"Dipilih daripada jemaah haji yang sihat tubuh badan, muda, mempunyai semangat sukarelawan dan bermotivasi tinggi,"katanya.

Kata beliau, jemaah haji yang berpasangan, berketerampilan dan boleh berkomunikasi dengan baik juga mempunyai kelebihan untuk memberikan khidmat.

Syed Saleh berkata, mereka dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Sahabat Hujjaj iaitu sukarelawan secara keseluruhan, Sahabat Ibadat untuk membantu berkaitan urusan ibadat manakala Sahabat Medik akan bertugas dalam bidang berkaitan perubatan.

Mohd Hezli (dua, kiri) dan isterinya Dr Noor Zalina (kiri) menyantuni jemaah haji di hotel penginapan di Makkah.
Mohd Hezli (dua, kiri) dan isterinya Dr Noor Zalina (kiri) menyantuni jemaah haji di hotel penginapan di Makkah.

Mengulas mengenai peningkatan jumlah permohonan untuk menjadi Sahabat Maktab, Syed Saleh berkata ia berikutan perkongsian tugas-tugas sukarelawan pada musim-musim haji sebelum ini yang menarik minat jemaah lain.

"Yang pernah jadi sukarelawan apabila pulang ke tanah air mereka cerita betapa seronoknya dapat memberi khidmat tolong jemaah lain, lagi pun di sini boleh buat pahala berlipat kali ganda,"katanya.

Sementara itu, pasangan suami isteri dari Shah Alam yang menjadi Sahabat Hujjaj begitu bersemangat untuk memberi khidmat kepada jemaah haji di sini.

Mohd Hezli Md Tahir, 50, dan isterinya Dr Noor Zalina Zainal, 46, berkata, peluang yang diberikan TH akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyantuni Dhuyufurrahman di Tanah Suci.

Mohd Hezli yang bertugas sebagai Juruaudit di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Cukai Multinasional Bangi, Selangor berkata, pengalaman dalam tugas-tugas sukarela di tanah air menjadi pemangkin semangat untuk memberikan bantuan kepada jemaah haji yang memerlukan di sini.

Dr Noor Zalina yang merupakan pensyarah di Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor berkata, aspek komunikasi sesama jemaah haji adalah antara elemen penting untuk melakukan kerja-kerja kebajikan di Tanah Suci ini.

Pasangan itu juga bersedia untuk berkhidmat lebih masa membantu jemaah dalam keadaan cabaran cuaca panas walaupun mereka adalah kali pertama menunaikan haji.