Pesta gay: Saman Khalid Samad akan dibicarakan

Wan Rohimi Wan Daud
Wan Rohimi Wan Daud
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad untuk membatalkan penyataan pembelaan difailkan Presiden Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Wan Asshima Kamaruddin berhubung penganjuran pesta gay.

Perkara itu dimaklumkan peguam Wan Rohimi Wan Daud yang bertindak bagi pihak Wan Asshima selaku defendan selepas prosiding kes itu yang berlangsung dalam kamar Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

Wan Rohimi ketika ditemui pemberita selepas prosiding memaklumkan, mahkamah turut memerintahkan Khalid selaku plaintif membayar kos sebanyak RM3,000.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua pihak juga akan melihat sekiranya terdapat ruang penyelesaian antara mereka dalam saman tersebut.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafiqree Hamka yang mewakili Khalid ketika ditemui berkata, mahkamah menolak permohonan tersebut selepas mendapati terdapat isu yang perlu dibicarakan.

Muhammad Rafiqree
Muhammad Rafiqree

Tambahnya pihak plaintif dan defendan juga diarahkan untuk memfailkan dokumen-dokumen berkaitan untuk perbicaraan.

Kes ditetapkan untuk pengurusan pada 9 April depan.

Artikel Berkaitan:

Khalid, 62, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 September tahun lalu, melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates dan menamakan Wan Asshima, 35, sebagai defendan.

Berdasarkan penyataan tuntutan, plaintif mendakwa defendan pada 18 Ogos tahun lalu dengan niat jahat sengaja merakam, memuat naik dan/atau menerbitkan sebuah video mengandungi perkataan fitnah di laman Facebook miliknya.

Beliau mendakwa kandungan video itu secara langsung merujuk kepada dirinya kerana nama dan jawatannya ada disebut secara spesifik.

Katanya, perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan pemimpin AMANAH berjaya menganjurkan dan meluluskan pesta gay yang terbesar di Kuala Lumpur sempena bulan Merdeka.

Khalid berkata, fitnah itu membawa maksud beliau mengiktiraf kedudukan LGBT di Malaysia, menaik taraf serta melindungi hak golongan itu.

Sehubungan itu plaintif memohon perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf melalui satu video dan dimuat naik di Facebook miliknya selain menuntut perintah supaya permohonan maaf itu dibuat secara bertulis untuk diterbitkan di dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian dalam masa 48 jam.