Abai bayi hingga cacat kekal, pengasuh dijel setahun dan denda

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 kepada pengasuh berkenaan.
Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 kepada pengasuh berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang pengasuh mengabaikan anak asuhannya berusia 11 bulan sehingga bayi lelaki itu patah tulang dan lumpuh separuh badan mengundang padah apabila dia dihukum penjara setahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Azlina Lizawati Ahmad Tarmizi, 37, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula Isnin dan dipenjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Selain itu, tertuduh juga dikehendaki menjalani hukuman tambahan di bawah seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Bon Kelakuan Baik dengan cagaran RM5,000 selama tiga tahun dan Khidmat Masyarakat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah 180 jam.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai pengasuh melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan patah tulang belakang dan rosak saraf.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Desa Tun Hussein Onn, Jalan Jelatek di sini antara jam 7 dan 10 pagi pada 23 Julai 2020.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ibu bapa mangsa telah menghantar bayi mereka ke rumah pengasuh dalam keadaan baik dan sihat.

Artikel Berkaitan:

Namun, pada jam 10 pagi, ibu mangsa dimaklumkan oleh tertuduh bahawa bayi itu tidak berhenti menangis dan memintanya untuk mengambil mangsa semula.

Selepas itu, ibu mangsa membawa mangsa ke klinik sebelum bergegas ke hospital untuk rawatan.

Hasil siasatan pihak hospital mendapati mangsa mengalami patah tulang belakang dan kerosakan urat saraf.

Laporan perubatan juga menunjukkan mangsa mengalami kecederaan kekal yang mana mangsa tidak boleh menggerakkan bahagian bawah tubuh badannya.

Mangsa kini merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) kerana kecacatan kekal yang dialaminya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syahieza Md Hadzaid berkata, peningkatan kes-kes penderaan, pengabaian dan penganiayaan terhadap kanak-kanak oleh pengasuh jelas menunjukkan hukuman berat perlu diberikan sebagai pengajaran.

Menurutnya, kecederaan terhadap mangsa adalah serius dan mengakibatkan cacat kekal seumur hidup berikutan tindakan tertuduh yang tidak amanah dalam menjalankan tugas sebagai pengasuh.

"Berdasarkan maklumat daripada ibu mangsa, anaknya terpaksa menjalani terapi sehingga kini, namun masih lumpuh separuh badan.

"Mangsa kini perlu menjalani rawatan seumur hidup dengan kos rawatan serta jagaan yang sangat tinggi. Ibu mangsa berharap hukuman yang dijatuhkan dapat memberi pengajaran kepada pengasuh lain," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Raihanah Abd Razak merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas alasan insaf dengan perbuatan tersebut terutama selepas ditahan reman selama 14 hari.