Kerajaan umum SOP umrah November depan

Ahmad Marzuk (kiri) menyerahkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada wakil Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Kelantan, Cawangan Kota Bharu pada Ahad.
Ahmad Marzuk (kiri) menyerahkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada wakil Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Kelantan, Cawangan Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang menyusun prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme sesuai serta selamat sebelum memberi kebenaran kepada umat Islam di negara ini mengerjakan ibadah umrah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kesemua perkara berkaitan SOP dan mekanisme itu akan diputuskan oleh kerajaan pada November ini.

"Jumlah kuota (mengerjakan umrah) itu bergantung kepada kelulusan diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi.

"Kerajaan tidak menolak kemungkinan agihan kuota itu mengikut pecahan negara," katanya mengulas kenyataan Kerajaan Arab Saudi yang membenarkan 100,000 umat Islam untuk menunaikan ibadat umrah setiap hari.

Beliau sebelum itu menyerahkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Kelantan, Cawangan Kota Bharu di sini pada Ahad.

Menurutnya, Malaysia akan mematuhi setiap arahan sebagaimana ditetapkan oleh Arab Saudi bagi memastikan umat Islam di negara ini dapat mengerjakan umrah.

Beliau berkata, Jabatan Wakaf Haji dan Umrah akan menyusun sepenuhnya SOP bagi memastikan keselamatan jemaah yang berangkat ke tanah suci berada dalam keadaan baik sehingga kembali semula ke negara ini.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kapasiti harian bagi jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 orang manakala bilangan jemaah solat fardu turut dinaikkan kepada 60,000 orang bermula pada Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurut akaun Twitter kementerian itu, pihaknya berkoordinasi dengan agensi-agensi berkaitan dalam melaksanakan pelan strategik yang tumpu kepada kesihatan dan keselamatan sebagai persediaan menerima 3.5 juta jemaah serta pengunjung sebulan.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, kerajaan melalui Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) akan terus memberikan penerangan kepada umat Islam yang masih enggan menerima suntikan vaksin.

Katanya, penerangan itu berpandukan kepada hukum bagi menangkis dakwaan dilontarkan oleh gerakan anti vaksin di negara ini.