47,000 mulakan persekolahan di Kelantan, Terengganu dan Langkawi

Mohd Radzi (kiri) bertanya khabar pelajar SMK Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu yang memulakan sesi persekolahan pada Ahad.
Mohd Radzi (kiri) bertanya khabar pelajar SMK Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu yang memulakan sesi persekolahan pada Ahad.
A
A
A

DUNGUN - Seramai 47,000 pelajar di negeri kumpulan A iaitu Kelantan, Terengganu dan Pulau Langkawi, Kedah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bermula Ahad.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, secara keseluruhan proses persekolahan terutama melibatkan prosedur operasi standard (SOP) di kebanyakan sekolah dipatuhi dan berjalan dengan baik.

"Hasil pemantauan ke atas sekolah-sekolah di Terengganu mendapati kebanyakannya beroperasi dengan baik mengikut tatacara dan garis panduan ditetapkan.

"Murid-murid juga dilihat mematuhi setiap SOP ditetapkan dan cukup bersemangat kembali semula ke sekolah untuk bertemu dengan rakan-rakan dan belajar secara bersemula bersama guru," katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Terengganu, pada Ahad.

Menurut Mohd Radzi, tinjauan dilakukan ke atas lebih 10 buah sekolah di Terengganu sejak Sabtu mendapati sistem pengudaraan di dalam kelas dan bilik guru dalam keadaan baik.

Katanya, tinjauan pada Ahad pula mendapati sistem penggiliran melibatkan separuh pelajar mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas pada satu-satu masa turut berjalan lancar.

"InshaaAllah, dengan kerjasama semua pihak, kita doakan sesi sesi persekolahan bersemuka ini dapat terus berjalan lancar dan teratur," katanya..

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kekal menetapkan sesi persekolahan 2021 dilanjutkan sehingga Januari dan Februari tahun depan meskipun wujud desakan supaya ia dikaji semula

Artikel Berkaitan:

"Keputusan melanjutkan sesi persekolahan 2021 sehingga Februari tahun depan dibuat berdasarkan penelitian mendalam.

"Perkara ini juga dibincangkan dengan pelbagai pihak termasuk pengetua guru-guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa buah negeri serta pakar dan persatuan untuk mengambilkira pandangan semua pihak," katanya.

Menyentuh mengenai 2,000 guru yang enggan divaksin katanya, KPM masih meneliti perkara itu.

Katanya, KPM juga mengenalpasti terdapat segelintir guru yang enggan divaksin didapati mengajar subjek yang sama di sebuah sekolah.

"Dalam hal ini, guru terlibat akan ditukarkan samada dalam negeri atau luar negeri bagi memastikan jawatan yang ada tidak terjejas.

"Walaupun begitu, mereka tetap juga tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka," katanya.

Mohd Radzi menegaskan, guru merupakan penjawat awam yang perlu melengkapkan vaksin Covid-19 sebelum 1 November depan.

ARTIKEL BERKAITAN:Sesi sekolah bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan dan Langkawi