X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 29 Oktober 2021

Ahmad Jazlan pengerusi baharu Felcra Berhad berkuat kuasa 1 Oktober

Felcra Berhad pada Sabtu mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai pengerusi baharunya berkuat kuasa semalam (Jumaat). - Foto Facebook
A
A

FELCRA Berhad pada Sabtu mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai pengerusi baharunya berkuat kuasa semalam (Jumaat).

Lembaga Pengarah Felcra Berhad dalam kenyataan berkata, pelantikan Ahmad Jazlan, 57, itu merupakan suatu langkah strategik bagi memacu komitmen pengurusan tertinggi dalam menjayakan pelan transformasi dan hala tuju ke arah kelestarian syarikat.

“Pengalaman luas Ahmad Jazlan dalam mensejahterakan kawasan luar bandar sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dan bekas peneraju Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Lembaga Kenaf serta Tembakau Negara itu bakal menyokong padu dan mengemudi fokus Transformasi Felcra Berhad ke arah penambahbaikan syarikat,” menurut kenyataan itu.

Ia juga sekali gus dapat menjaga kesejahteraan 112,479 peserta dan keluarga Felcra Berhad serta masyarakat luar bandar di sekitar 1,420 projek Felcra di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra Berhad Datuk Mat Roni Zakaria berkata, pengurusan tertinggi komited menjayakan matlamat dan amanat Ahmad Jazlan serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah dalam menyokong usaha Transformasi Felcra Berhad.

Beliau percaya dengan pengalaman dan kebolehan pengerusi baharu itu, pelbagai inovasi dan inisiatif dapat diperkenalkan demi penambahbaikan proses operasi dan tadbir urus syarikat serta langkah proaktif dalam menangani norma baharu dan fasa endemik Covid-19.

“Ia selaras dengan hala tuju strategik syarikat untuk mencapai kesinambungan dan kemampanan korporat demi kelestarian syarikat.

“Seluruh barisan Lembaga Pengarah, pengurusan tertinggi, warga kerja, pesara dan peserta Felcra Berhad mengucapkan tahniah atas pelantikan ini dan Felcra Berhad amat optimis Ahmad Jazlan dapat menyokong usaha syarikat ke arah kecemerlangan, berdasarkan inti pati Pelan Transformasi dan Hala Tuju Strategik Felcra Berhad yang diluluskan Majlis Jemaah Menteri baru-baru ini,” katanya.

Mat Roni berkata, matlamat utama Felcra Berhad sentiasa berpaksikan kesejahteraan warga peserta sebagai tanggungjawab mandat sosial dan perkembangan usaha komersial dalam melestarikan syarikat. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!