Kementerian Wilayah Persekutuan pertimbang anjur forum ekonomi Labuan

Shahidan mendengar penerangan mengenai kejadian banjir Kampung Rancha-Rancha daripada Pengarah JBPM Labuan Ismaidi Ismail (tiga, kiri) di PPS balai bomba Rancha-Rancha hari ini.
 -Foto Bernama
Shahidan mendengar penerangan mengenai kejadian banjir Kampung Rancha-Rancha daripada Pengarah JBPM Labuan Ismaidi Ismail (tiga, kiri) di PPS balai bomba Rancha-Rancha hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Kementerian Wilayah Persekutuan sedang mempertimbang penganjuran satu forum ekonomi untuk mengetengah dan membincangkan agenda pembangunan ekonomi Labuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, forum itu akan membantu menangani kelembapan ekonomi yang dialami oleh pulau bebas cukai itu selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Kami akan melakukan apa sahaja (termasuk menganjurkan forum ekonomi) untuk membantu memulihkan ekonomi Labuan.

“Bagi kami di kementerian, Labuan perlu terus berkembang... Labuan pernah terkenal dengan tarikan ekonominya dan kami mahu pulau ini kembali ke era kegemilangannya,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di Kompleks Darul Kifayah di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, antara tarikan Labuan ialah status bebas cukainya yang kini seolah-olah terhakis kerana tidak semua barang yang dibayar adalah bebas cukai.

“Status bebas cukai Labuan sedang diteliti untuk menjadikannya lebih menarik kerana ia boleh menjadi faktor penarik atau penolak, dan ini adalah antara isu yang harus ditangani.

“Saya akan membincangkan isu ekonomi Labuan dengan Perdana Menteri untuk melihat bagaimana kita boleh memacu ekonomi wilayah persekutuan ini ke era kegemilangannya seperti sebelum ini... ini adalah antara cabaran yang harus kita hadapi dan saya tidak melihat perkara ini sebagai satu masalah,” katanya.

Shahidan berkata, terdapat keperluan rancangan pembangunan jangka panjang dan jangka pendek untuk Labuan demi kesejahteraan rakyat serta pulau itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Jika mungkin, kami mahu Labuan mendapat limpahan ekonomi dari jirannya iaitu Sabah dan ini bermakna hubungan ekonomi antara Labuan dan Sabah perlu dipertingkat,” katanya sambil menambah hotel yang sudah lama ditinggalkan seperti Hotel Labuan dan Hotel Waterfront Hotel juga perlu diberi perhatian untuk kemungkinan pembangunan semula.

Beliau berkata, terdapat keperluan mewujudkan jawatankuasa khas untuk menghimpunkan 83 agensi kerajaan di bawah satu bumbung bagi menangani pelbagai isu pembangunan sosial dan ekonomi di Labuan. - Bernama