Kerajaan perhalusi kaedah rapatkan jurang pembangunan ekonomi


Rafizi
Rafizi
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Persekutuan akan terus memperhalusi kaedah terbaik dalam mengimbangi pembangunan ekonomi di Melaka dan Negeri Sembilan bagi merapatkan jurang kemiskinan di kedua negeri tersebut.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia termasuk aspek pemberian peruntukan dalam memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi di negeri yang terletak di tengah-tengah antara laluan selatan dan utara Semenanjung Malaysia itu.

"Walaupun tidak seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan juga Sarawak (yang jurang kemiskinannya agak tinggi) tetapi kita perlu mengimbangi keperluan kedua negeri ini.

"Ini kerana mereka tidak seperti negeri Selangor dan Johor yang pesat dengan aktiviti perindustrian dan perkilangan. Sebab itulah dalam kajian penggal dan tujuan RMK ke-13, kita akan tengok dan imbangi keperluan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) 2021-2025 bersama Menteri Ekonomi pada Khamis.

Rafizi berkata, kedua negeri itu perlu bijak menggunakan kedudukan geografinya yang strategik dan mampu menjadi dua pusat ekonomi penting di negara ini.

"Sebagai contoh apabila pertumbuhan ekonomi meningkat di Johor dan Lembah Klang, ia akan melimpah ke Melaka dan secara langsung akan melahirkan lebih ramai usahawan dalam sektor pelancongan.

"Inilah perkara-perkara yang akan kita perhalusi dan kita pun tidak mahu Melaka bergantung kepada sektor pelancongan sahaja," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai permintaan kerajaan Melaka berkaitan peruntukan di bawah Rolling Plan ke-4 Rancangan Malaysia ke-12 yang bernilai RM13.93 bilion, Rafizi menjelaskan permohonan tersebut kini berada dalam peringkat tapisan belanjawan.

"Sebagai pihak terakhir yang meluluskan permohonan tersebut, kita sentiasa memberi peluang kepada kerajaan negeri dan agensi untuk memohon dan ia akan diangkat secara rasmi melalui kementerian berkaitan.

"Ini perkara biasa memandangkan setiap kerajaan negeri mempunyai projek keutamaannya termasuklah Melaka dan kita akan mengharmonikannya antara keperluan kerajaan persekutuan dan keutamaan kerajaan negeri," katanya. - Bernama