PM mahu tangani masalah program latihan tidak ikut kehendak pasaran

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Wawancara Ekslusif RMK-12 Keluarga Malaysia bersama Ketua Pengarang Media Cetak di Menara Parlimen, pada Khamis. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Wawancara Ekslusif RMK-12 Keluarga Malaysia bersama Ketua Pengarang Media Cetak di Menara Parlimen, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu penyelarasan dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah program-program latihan yang tidak mengikut kehendak pasaran.

Jelas beliau, perkara itu telah dibincangkan dalam Majlis Pekerjaan Malaysia yang mendapati terdapat banyak program latihan yang tidak dapat membantu rakyat menjana pendapatan.

"Contohnya, kalau wanita buat kuih, masak, jahit tetapi kita patut fokus kepada permintaan hari ini. Apa permintaannya ? Sekarang cakap pasal e-bisnes, bisnes dalam talian. Jadi, latihan sepatutnya melibatkan bisnes dalam talian.

"Orang muda pula, gig ekonomi, e-hailing, p-hailing dan sebagainya. Fokus biar kepada yang ada permintaan. Itu kadang-kadang tidak sepadan. Kursus lain, tapi apabila keluar tiada apa, tidak boleh bekerja dan berniaga," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Eksklusif Rancangan Malaysia Ke-12 Keluarga Malaysia bersama editor kanan media cetak di Menara Parlimen, pada Khamis.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, latihan yang sesuai juga boleh diberikan kepada rakyat mengikut kawasan dan keadaan di sesuatu daerah atau negeri.

"Kalau di Pengerang, terdapat sektor minyak dan gas. Langkawi ada pelancongan. Jadi, kursus kena bertepatan dengan tempat tersebut.

"Sekarang ini, kalau kita tengok, kursus banyak yang sama. Jadi, kita sekarang hendak menyelaraskan kalau boleh. Jika tidak, terlampau banyak duit yang digunakan dan akhirnya tiada hasil," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, kerajaan telah mewujudkan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat Luar Bandar yang melibatkan RM1.5 bilion.

Ia bertujuan untuk membantu rakyat di bandar dan luar bandar untuk memperbaiki taraf hidup mereka.