Ketua unit pembiayaan, kerani bank didakwa terima suapan

Ahmad Salahudin (depan kanan) dan Yusni (depan, dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat, masing-masing atas lima pertuduhan utama dan pilihan, menerima suapan berjumlah RM59,250 bagi membantu proses permohonan pembiayaan peribadi, dua tahun lalu.
Ahmad Salahudin (depan kanan) dan Yusni (depan, dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat, masing-masing atas lima pertuduhan utama dan pilihan, menerima suapan berjumlah RM59,250 bagi membantu proses permohonan pembiayaan peribadi, dua tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua kakitangan perbankan di Putrajaya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, masing-masing atas lima pertuduhan utama dan pilihan menerima suapan berjumlah RM59,250 bagi membantu proses permohonan pembiayaan peribadi, dua tahun lalu.

Ahmad Salahudin Abu Bakar, 42, dan Yusni Yusof, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut lima pertuduhan utama, Ahmad Salahudin iaitu Ketua Unit Pembiayaan di sebuah bank, didakwa menerima RM31,100 manakala Yusni selaku kerani Tingkatan Khas Unit Pembiayaan di bank sama, menerima RM28,150 menerusi lima transaksi pindahan wang daripada seorang lelaki.

Ia sebagai komisen untuk tertuduh membantu memproses semakan dokumen permohonan dalam sistem yang mana tertuduh sedia maklum bahawa dokumen tersebut adalah palsu dan tiada semakan dibuat oleh pegawai.

Ahmad Salahudin didakwa menerima wang itu melalui akaun bank syarikat miliknya di Kajang manakala Yusni menerusi akaun bank di Seri Kembangan, antara September hingga November 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi lima pertuduhan pilihan, di lokasi dan tarikh sama, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama melalui transaksi dalam talian, yang mana ia mempunyai perhubungan dengan tugas-tugas rasmi di bank tempat mereka bertugas.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noryusriza Zulkifli manakala peguam, Muhammad Shafiq Shamsudin mewakili kedua-dua tertuduh.

Rihaida membenarkan Ahmad Salahudin diikat jamin sebanyak RM15,000 manakala Yusni RM13,000 dengan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi.

Mahkamah turut menetapkan 16 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh.