33 mati akibat keracunan metanol

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 33 kematian daripada 55 kes keracunan metanol dilaporkan bagi tempoh 9 hingga 30 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kematian yang dilaporkan, 18 kes atau 55 peratus melibatkan warganegara Malaysia manakala 15 kes lagi membabitkan warga asing iaitu Myanmar (tujuh), India (lima) dan Nepal (tiga).

"Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 25 kes keracunan metanol di Selangor, Perak (13), Pulau Pinang (enam), Pahang (lima), Kuala Lumpur (empat), Johor (satu) dan Negeri Sembilan (satu)," katanya.

Menurutnya, jumlah kes tersebut merangkumi 26 warganegara dan selebihnya warga asing.

"Tujuh kes telah discaj dari hospital manakala terdapat 15 kes yang masih menerima rawatan iaitu 12 kes kritikal di unit rawatan rapi (ICU) dan tiga kes tidak kritikal," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, keracunan metanol berlaku apabila minuman beralkohol mengandungi metanol dalam dos yang toksik.

"Metanol boleh hadir dalam kuantiti toksik akibat proses distilasi minuman beralkohol yang tidak sempurna atau metanol dicampur ke dalam minuman beralkohol sebelum diminum," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, keracunan metanol juga dikaitkan dengan minuman beralkohol yang di kilang secara tidak sah kerana kebiasaannya metanol dicampur ke dalam minuman tersebut sebagai pengganti etanol.

Artikel Berkaitan:

"Hal yang demikian adalah kerana harga metanol secara relatif lebih murah berbanding etanol," jelasnya.

Ujarnya, gejala keracunan metanol termasuklah sakit perut, loya, muntah, sakit kepala dan kabur penglihatan dalam tempoh lima hari selepas pengambilan minuman beralkohol.

"KKM ingin menasihati pengguna supaya tidak minum sebarang minuman beralkohol yang dikhuatiri tercemar dengan metanol.

"Pengguna hendaklah memastikan minuman yang dibeli mempunyai label yang mengandungi maklumat mengenai pengeluar, pengedar atau pengimport dan ramuan minuman beralkohol tersebut," katanya.

Beliau mengingatkan pengguna supaya mengelakkan daripada minum minuman beralkohol yang dihasilkan sendiri dan dijual pada harga murah atau meragukan.

"Orang ramai disarankan supaya mengamalkan gaya hidup sihat tanpa alkohol," saran beliau.