'Jangan pandang rendah penghantar makanan'

Mohd Akmal memperoleh PhD Bioteknologi Farmaseutikal dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini.
Mohd Akmal memperoleh PhD Bioteknologi Farmaseutikal dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Jangan memandang rendah kepada golongan penghantar makanan (food rider) kerana kebanyakan mereka mempunyai taraf pendidikan yang tinggi.

Penghantar makanan, Mohd Akmal Azhar, 36, berkata, tanggapan segelintir masyarakat terhadap penghantar makanan yang tidak mempunyai sijil pendidikan itu tidak benar.

Menurutnya, golongan itu tidak memilih kerjaya atau pekerjaan mengikut taraf pendidikan yang dimiliki.

"Memang ada pelanggan tanya kenapa saya jadi ‘rider’ Foodpanda, tetapi kemudiannya mereka faham, ini semua adalah untuk ‘survival’ dan ramai lagi ‘rider’ yang bukan calang-calang, ramai yang ada ijazah sarjana muda.

"Jadi, jangan sesekali kita menilai buku hanya dengan melihat kulitnya dan kita tidak boleh pandang rendah kepada penghantar makanan ini sebab bukan semua tiada pelajaran," katanya ketika ditemui di Bandaraya Kuantan pada Rabu.

Isnin lalu, tular di laman sosial Facebook Foodpanda yang mengucapkan tahniah kepada Mohd Akmal atas kejayaannya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Bioteknologi Farmaseutikal dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini.

Difahamkan kisah Mohd Akmal bukan sahaja mencuri perhatian orang ramai, bahkan dia turut diundang menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang tertarik dengan semangat ditunjukkan anak muda yang menetap di pekan Gambang itu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Akmal keluar dari rumahnya di Gambang seawal 9 pagi bagi membuat penghantaran makanan kepada pelanggan di sekitar bandar raya Kuantan.
Mohd Akmal keluar dari rumahnya di Gambang seawal 9 pagi bagi membuat penghantaran makanan kepada pelanggan di sekitar bandar raya Kuantan.

Mohd Akmal mengakui terpaksa menghabiskan masa antara 10 hingga 12 jam sehari untuk menghantar pesanan pelanggan di sekitar bandar raya Kuantan.

Katanya, memandangkan jarak antara kediamannya di pekan Gambang ke bandar raya ini kira-kira 50 kilometer, seawal jam 9 pagi, dia sudah keluar dari rumahnya.

“Sekarang saya perlu kerja lebih kuat, isteri sedang sarat mengandung dan dijangka melahirkan anak keenam kami dalam masa dua minggu lagi.

"Saya akui kerja ini ada risiko, tapi saya bersyukur sekurang-kurangnya ada juga kerja untuk dijadikan sumber pendapatan," katanya.

Bapa kepada lima anak berusia antara dua hingga 10 tahun itu berkata, dia pernah bertugas sebagai pensyarah di UMP selama enam tahun, sebelum kontraknya tidak disambung pada tahun 2017.

Susulan itu, Mohd Akmal mengambil keputusan menyambung pengajian ke peringkat PhD selepas UMP menawarkan pembiayaan selama tiga tahun bagi menyiapkan tesisnya.

“Bila UMP menawarkan pembiayaan, saya bersedia menyambung pelajaran, tetapi hanya untuk tiga tahun (pengajian). Saya perlu mencari sumber pendapatan sendiri apabila memasuki tahun keempat pengajian.

“Dengan kepayahan mencari kerja tetap dan datang pula Covid-19, jadi saya fikir, kerja sebagai penghantar makanan adalah paling mudah dimohon dan sejak tahun lalu, inilah rutin harian saya,” ujarnya.

Dia mengakui jadual kerja sebagai penghantar makanan sangat mencabar, terutama ketika dalam proses menyiapkan tesis PhD sebelum ini.

“Kalau dulu, saya buat kerja ini dari pagi hingga petang sahaja, sebelah malam pula saya tumpu sepenuhnya terhadap tesis.

“Tapi sekarang (tesis) sudah siap, jadi saya ada banyak masa untuk buat kerja ini (penghantar makanan),” katanya lagi.

Ditanya mengenai peluang pekerjaan selepas tesis PhD siap, Mohd Akmal yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang pengajian Bioteknologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, setakat ini dia belum menerima sebarang tawaran kerja tetap daripada mana-mana pihak.