Penghantar makanan dipenjara 40 bulan, dua sebatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penghantar makanan pada Selasa dihukum penjara 40 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini kerana merompak juruwang di dua kedai serbaneka dengan bersenjatakan sebilah parang.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Syahir Muhammad Jali, 32, mengaku merompak R. Dhanaletchmi, 44, dan M. Jegatiswaran, 25, masing-masing di Jalan Sultan Azlan Shah Sentul dan Taman Melati Utama, Wangsa Maju antara jam 4 pagi dan 5.35 pagi pada 8 dan 9 April lepas.

Antara barang yang dirompak ialah pelbagai jenis rokok, makanan dan minuman yang keseluruhan bernilai RM6,017.96 serta wang tunai RM150.75.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntuk hukuman maksimum penjara 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 40 bulan dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan serta mengarahkan ia berjalan serentak bermula Selasa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira jenayah rompak semakin berleluasa di negara ini namun Muhammad Syahir, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan kerana menanggung ibu bapanya yang uzur. - Bernama