PRN: PH tidak pandang rendah usaha PN mahu tawan Selangor

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan Selangor tidak akan memandang rendah usaha Perikatan Nasional (PN) yang mahu merampas negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Perkara itu ditegaskan Menteri Besar yang juga Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari walaupun beliau yakin bahawa kubu gabungan parti tersebut masih kukuh di negeri berkenaan.

"Itu strategi mereka tetapi ketika Pilihan Raya Umum (ke-15) lalu kita berdepan (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) namun dengan kekukuhan kita, majoriti kerusi Parlimen iaitu 16 dimenangi PH di Selangor.

"Jadi saya percaya kubu PH kukuh di Selangor namun kita tidak pandang rendah usaha dan ikhtiar mereka dari masa ke masa.

"Dari segi fizikal sampailah di media sosial kita tingkatkan usaha penerangan," katanya pada Majlis Sidang Media Khas Lima Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mahu Mohamed Azmin 'memberikan' Selangor sebagai 'hadiah' kepada gabungan parti berkenaan pada PRK kali ini.

Dalam pada itu, Amirudin turut yakin bahawa PH mampu mengekalkan kedudukan majoriti dua pertiga di Selangor pada PRN di negeri itu disebabkan prestasi pentadbiran dalam tempoh lima tahun ini.

"Dengan strategi yang betul, tidak mustahil kita boleh mencapai kemenangan lebih berbanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2018 lalu," katanya.

PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 meraih 41 kerusi daripada keseluruhan 56 DUN manakala baki tujuh kerusi dimenangi PN, BN (lima kerusi) dan Parti Pejuang Tanahair sebanyak tiga kerusi.