Polis buka kertas siasatan dakwaan pelajar meninggal sebab vaksin

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di sini meninggal dunia disebabkan suntikan vaksin Covid-19 sepertimana video tular.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam.

Menurutnya, polis menerima dua laporan polis berhubung perkara itu masing-masing dibuat oleh Pegawai Pendidikan (Kesihatan) Daerah Ipoh dan pengetua sekolah pada Rabu.

"Laporan ini antara lain berkaitan ketidakpuasan hati terhadap dakwaan kematian dua pelajar sekolah berkenaan disebabkan suntikan vaksin.

"Polis sedang menjalankan siasatan terhadap laporan yang diterima itu mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan 505(B) kanun yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian dua pelajar sebab penyakit lain, tiada kaitan vaksinasi

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kematian pelajar perempuan dan lelaki, masing-masing berusia 17 tahun itu disahkan sebelum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dilaksanakan di negeri ini pada 20 September lalu.

Menurutnya, pelajar perempuan Tingkatan Lima itu meninggal dunia pada 18 Ogos lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini akibat masalah kesihatan kencing manis dan positif Covid-19.

"Kematian membabitkan pelajar lelaki itu pula direkodkan pada 17 September lalu juga di HRPB akibat masalah kesihatan kerana menghidap jantung berlubang.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua pelajar ini masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19 dan kematian mereka disahkan sebelum PICK Remaja ini bermula," jelas beliau.

Mior Faridalathrash turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan kenyataan yang dikeluarkan tanpa merujuk pihak bertanggungjawab.

Video berdurasi 1 minit 38 saat yang tular sejak Selasa itu dipercayai dirakamkan dalam sebuah majlis yang diadakan sebagai tanda solidariti menuntut hak supaya pelajar tidak diwajibkan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Menerusi video tersebut, seorang wanita dalam ucapannya kepada sekumpulan individu mendakwa berlaku dua kes kematian pelajar SMK Tasek Damai disebabkan pengambilan suntikan vaksin.