Ikat kucing pada tingkap pacuan empat roda, polis buru suspek

KLUANG – Polis sedang mengesan individu yang dipercayai mengikat seekor kucing pada leher sebelum menggantung haiwan itu di luar tingkap sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Batu 2, Jalan Mersing, di sini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya mengesan video berdurasi tujuh saat memaparkan kejadian itu yang tular di Facebook pada kira-kira jam 6.30 petang, Khamis.
Menurutnya, siasatan awal mendapati individu yang menaiki kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai mengikat leher seekor kucing menggunakan tali sebelum menggantung haiwan berkenaan di luar tingkap kenderaan.
"Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kluang dengan nombor laporan Kluang Repot 22016/2026.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap haiwan.
"Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bahrin berkata, polis masih menjalankan usaha mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Kluang menerusi talian 07-7784222 atau Hotline 07-7766822.
Video tular rasa marah pengguna media sosiwl terhadap perbuatan berkenaan dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan serta memastikan pelaku dikenakan hukuman setimpal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

