Menyamar ADC Raja Muda Selangor: Polis tunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya bagi 15 lagi kes penipuan

Shazeli (tengah) ketika sidang akhbar di IPK Selangor pada Jumaat. Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Shazeli (tengah) ketika sidang akhbar di IPK Selangor pada Jumaat. Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM – Polis masih menunggu arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor berhubung 15 lagi kes penipuan yang membabitkan seorang lelaki yang menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit (ADC) Raja Muda Selangor bagi memperdaya mangsa dalam urusan jual beli kenderaan dan hartanah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua 15 kertas siasatan berkenaan telah lengkap dan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor untuk mendapatkan arahan lanjut.

"Ia adalah sebahagian daripada 17 kertas siasatan yang membabitkan suspek berkenaan. Kita kini menunggu arahan lanjut bagi baki 15 kes lagi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Jumaat.

Shazeli berkata, hasil siasatan turut mendapati hampir 27 kes dilaporkan di seluruh negara, termasuk di negeri lain, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1.4 juta.

Menurutnya, dua suspek utama, iaitu seorang lelaki dan seorang wanita Melayu, sudah didakwa berhubung kegiatan penipuan berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan kedua-dua suspek didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Khamis mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek turut didakwa di Mahkamah Majistret Klang pada Jumaat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berhubung satu lagi kes yang membabitkan mangsa lain.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta denda.

Shazeli turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang tampil menyalurkan maklumat serta memberikan kerjasama kepada pihak polis sehingga membolehkan suspek dibawa ke muka pengadilan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!