Pemakluman status kes rasuah berprofil tinggi lebih berkesan: SPRM

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengenal pasti kaedah lebih berkesan bagi memaklumkan dan menerangkan perkembangan status kes berprofil tinggi kepada masyarakat.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, walaupun ketika ini pihaknya merasakan telah memberikan maklumat terkini kepada masyarakat, masih ada lagi pihak yang mempersoalkannya.

“Kami akan melihat ruang-ruang yang boleh diperbaiki kerana kami sedia maklum SPRM sering menjadi tumpuan rakyat memandangkan rasuah antara isu utama yang memberi kesan besar kepada negara," katanya berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Media SPRM 2020 secara maya pada Rabu.

Dalam hal ini, Azam berkata, rakyat juga perlu tahu cabaran dan hala tuju suruhanjaya itu dalam mendepani cabaran menangani rasuah secara berkesan, baik dari sudut pengoperasian, pencegahan mahupun pendidikan masyarakat.

Beliau berkata, setiap peranan SPRM perlu diperjelaskan kepada umum secara berterusan supaya tahap keyakinan masyarakat terhadap suruhanjaya itu meningkat.

Menekankan faktor sensitiviti, undang-undang dan kerahsiaan perlu diambil kira dalam pendedahan sesuatu isu, Azam berharap pihak media dan SPRM saling memahami mengenai hal tersebut.

"Kerjasama, kefahaman dan hala tuju yang seiring antara media dan SPRM amat penting," katanya yang berharap media juga perlu jelas mengenai peranan SPRM agar lebih mudah maklumat disampaikan kepada masyarakat.

Sementara itu, Azam berkata, Pelan Strategik SPRM 2021-2025 yang dilancarkan pada 3 Ogos lepas menjadi asas penting dalam melaksanakan fungsi dan urus tadbir baik suruhanjaya itu ke arah mencapai visi dan misi ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Hala tuju kali ini ialah meletakkan nama SPRM di persada dunia sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah terunggul dan bertaraf dunia serta mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas rasuah,” katanya.

Pada majlis tersebut, wartawan New Straits Times Mohamed Basyir Mohamed Ibrahim memenangi tempat pertama bagi kategori media cetak, manakala wartawan Sinar Harian Izwan Rozlin menang kategori media elektronik. - Bernama