X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Tingkat fasiliti, kualiti pendidikan dalam RMK12: Ahli Parlimen

Setiap sekolah perlu dilengkapi dengan liputan Internet yang tinggi menerusi Pelan Pendidikan Digital di bawah RMK12. - Foto 123rf
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha meningkatkan fasiliti dan kualiti pendidikan negara merupakan antara perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang semasa membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mencadangkan supaya kerajaan segera meningkatkan infrastruktur di sekolah daif dan kawasan pedalaman khususnya di Sarawak bagi memastikan keselamatan murid diutamakan.

Beliau berkata, ini termasuk memindahkan sekolah yang terletak di sepanjang tebing sungai dan sering dilanda banjir ke kawasan lebih tinggi bagi memastikan murid tidak berdepan risiko hakisan tanah serta banjir yang boleh membawa maut.

Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pula berharap setiap sekolah dapat dilengkapi dengan liputan Internet yang tinggi menerusi Pelan Pendidikan Digital di bawah RMK12.

Beliau berkata, liputan internet di sekolah juga tidak seharusnya dihadkan sebaliknya kapasiti penggunaan dipertingkat agar boleh dinikmati warga sekolah secara serentak tanpa gangguan kelajuan kemudahan itu.

“Penambahbaikan sistem pendidikan negara ini sebagai usaha lonjakan untuk Malaysia beralih kepada negara berpendapatan tinggi serta mewujudkan pembangunan bakat,” katanya.

Tony Pua (PH-Damansara) mencadangkan supaya kerajaan merombak semula kesemua asas dan corak pemikiran dalam melaksanakan pelan pendidikan negara selari dengan hasrat membangunkan bakat masa depan.

Beliau berkata kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan, perlu memberi tumpuan kepada usaha melahirkan bakat muda berkualiti berbanding kuantiti kejayaan seperti statistik keputusan peperiksaan atau jumlah kemasukan ke universiti.

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan merombak semula dasar pengambilan guru supaya hanya pemohon yang mempunyai kelulusan tinggi dan cemerlang diterima.

Katanya, di negara maju seperti Singapura, sejumlah besar penerima biasiswa kerajaan setiap tahun akan menjadi seorang guru di sekolah menengah manakala ramai yang lain diserap dalam perkhidmatan awam.

“Akan tetapi di Malaysia, pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam kebanyakannya dilepaskan daripada keperluan untuk berkhidmat sebagai guru atau di dalam perkhidmatan awam.

“Akibatnya, bakat negara terbazir dan anak-anak kita tidak dapat menikmati mutu pendidikan serta pentadbiran yang lebih baik,” katanya.

Bagi Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan), RMK12 antara lain wajar menumpukan kepada pewujudan peluang pekerjaan berasaskan sukatan pelajaran, kemahiran, ilmu serta menepati kehendak pasaran.

“Kita memerlukan kecekapan yang berasaskan sukatan pelajaran berlandaskan ilmu, kemahiran, pembangunan dan penguasaan kemahiran,” katanya sambil menambah ini kerana kadar pengangguran negara melebihi 4.8 peratus.

Persidangan dewan bersambung pada Rabu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!