Kehadiran Armada Laut Turkiye terjemah hubungan erat Malaysia-Turkiye

Ahmad Zahid ketika bersalaman dengan Armada Laut Turkiye. Foto Facebook Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid ketika bersalaman dengan Armada Laut Turkiye. Foto Facebook Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kehadiran Armada Laut Turkiye yang merupakan lawatan pertama mereka ke Malaysia setelah hampir satu dekad merupakan terjemahan kepada hubungan erat Malaysia dan Turkiye, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang berkunjung ke kapal korvet TCG Kinaliada dari Tentera Laut Turkiye di Pelabuhan Klang petang tadi berkata, hubungan erat kedua-dua negara telah berjaya membentuk kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk industri pertahanan.

Sebagai contoh beliau berkata, penubuhan TUSAS Malaysia Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh Turkish Aerospace Industries Inc di Cyberjaya telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 100 jurutera Malaysia untuk berkhidmat dan menimba kepakaran dalam sektor ketenteraan.

Kapal Korvet TCG Kınalıada dari Tentera Laut Turkiye di Pelabuhan Klang.
Kapal Korvet TCG Kınalıada dari Tentera Laut Turkiye di Pelabuhan Klang.

Menurutnya nilai dagangan antara Malaysia dan Turkiye pula telah mencapai AS$4.46 bilion dengan potensi pertumbuhan yang besar.

"Saya yakin hubungan erat yang terjalin ini akan terus membawa kelebihan yang besar di antara kedua-dua negara. Semoga hubungan yang terjalin ini akan terus diperkasa dan menjadi kunci kepada kemakmuran bersama,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.

TCG Kinaliada berlabuh di Malaysia selama tiga hari bermula semalam sebelum meneruskan perjalanan ke Jepun sempena ulang tahun ke-100 hubungan diplomatik Turkiye-Jepun. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!