Ratusan tebuan 'serang' tentera Israel

Unit infantri bersama kereta kebal telah dikerahkan ke Genting Gaza sejak minggu lalu. Foto Agensi
Unit infantri bersama kereta kebal telah dikerahkan ke Genting Gaza sejak minggu lalu. Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Satu kejadian luar biasa berlaku apabila 12 askar rejim Zionis cedera selepas disengat sekumpulan tebuan dalam kejadian di selatan Genting Gaza pada Jumaat lalu.

Pusat Perubatan Sheba di Tel Aviv memaklumkan seramai 10 daripadanya dimasukkan ke kemudahan itu termasuk seorang dirawat di unit jagaan rapi (ICU).

Insiden 'amukan tebuan' itu berlaku ketika operasi disertai Briged Divisyen Selatan di sempadan wilayah Gaza.

"Sebuah kereta kebal telah merempuh sarang tebuan hingga menyebabkan sebahagian anggota tentera disengat ratusan tebuan dan mengalami reaksi alahan. Doktor di hospital berkenaan tidak pernah berdepan kejadian seperti itu.

"Unit ICU, anestesia, rawatan toksikologi dan pakar mata dikerahkan untuk merawat kumpulan mangsa cedera," menurut laporan media tempatan.

Sementara itu, satu lagi laporan yang dikeluarkan akhbar Haaretz mendedahkan data sehingga 11 Mei menunjukkan seramai 10 anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) membunuh diri sejak Perang Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu.

"Kebanyakan kes melibatkan askar lebih muda, namun ia telah memberi impak psikologi luar biasa kepada anggota IDF secara amnya.

"IDF kini terpaksa menangani kecenderungan bunuh diri dalam kalangan askar mereka termasuk dalam pasukan simpanan yang berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an," jelas laporan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Ia turut membongkar penemuan mayat seorang anggota di dalam kereta miliknya dan dipercayai telah menembak mati dirinya sendiri, dua minggu selepas Perang Gaza bermula.

Menurut data yang sama, lebih 630 anggota IDF dilaporkan terbunuh ketika menyertai kempen pencerobohan ke atas Gaza. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!