Kerajaan usaha ke arah pembukaan semula sempadan Wang Kelian

Saifuddin Nasutionbersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mendengar taklimat mengenai projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian ketika mengadakan lawatan kerja di sini pada Selasa. Foto Bernama
Saifuddin Nasutionbersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mendengar taklimat mengenai projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian ketika mengadakan lawatan kerja di sini pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PADANG BESAR - Kerajaan komited dalam usaha membuka semula Zon Aliran Bebas di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian dekat sini yang dimansuhkan sejak 2015.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi berhubung isu keselamatan dan akan memperketat prosedur berbanding sebelum ini.

"Kalau dulu ketika laluan ini dibuka, orang ramai hanya perlu tunjuk kad pengenalan dan tiada dokumentasi yang lengkap. Semua itu kita akan perketat untuk pastikan semua elemen keselamatan tidak akan dikompromi.

"Saya juga telah berbincang dengan Menteri Besar Perlis (Mohd Shukri Ramli) mengenai perkara ini dan telah sembah maklum kepada Tuanku (Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail) berkenaan cadangan pembukaan semula laluan ini dan Tuanku beri sokongan kuat serta bertitah agar KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan kerajaan negeri dapat duduk serta selaraskan dan pemudahcarakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melakukan lawatan kerja ke pos pintu masuk Wang Kelian pada Selasa.

Saifuddin Nasution berkata pelaksanaan semula Zon Aliran Bebas itu adalah antara komitmen Kerajaan Persekutuan ketika meluluskan peruntukan RM14 juta bagi projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Wang Kelian seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

"Kompleks baharu ini akan menempatkan semua agensi di bawah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang beroperasi bermula 1 Mei lepas.

"Komponen lain yang kita rencanakan termasuklah laluan empat lorong bagi inbound dan outbound berbanding satu ketika ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata, KDN akan sentiasa memantau keberadaan pelancong asing dari China dan India yang memasuki negara ini di bawah Pelan Liberalisasi Visa (PLV) menerusi data biometrik yang diambil ketika pelancong kedua-dua negara itu tiba di Malaysia.

Katanya justifikasi pengenalan PLV adalah untuk merancakkan semula ekonomi negara dalam sektor pelancongan dengan kehadiran pelancong dari China dan India.

Saifuddin Nasution berkata, walaupun PLV yang dilaksana adalah untuk memudahkan pelancong negara terbabit, kerajaan tidak akan berkompromi terutama dalam soal keselamatan negara.

Beliau berkata, melalui PLV, pelancong China dan India yang memasuki Malaysia ini tidak memerlukan visa dan boleh berada di negara ini selama 30 hari.

"Jika didapati selepas 30 hari mereka masih terus tinggal di negara ini, kita mempunyai rekod dan kita boleh meneliti keberadaan mereka secara terperinci kerana apabila mereka tiba ke negara ini, mereka perlu mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC).

"Apabila mereka tidak keluar juga dari negara ini maka kita boleh kesan mereka menerusi biometrik," katanya.

Pada tahun lepas, kerajaan mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari kedua-dua negara dari 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!