Eksesais Malapura perkasa kerjasama tentera laut Malaysia, Singapura

Lambaian persahabatan oleh pegawai pemerintah KD Lekiu kepada RSS Stalwart. -Foto: Facebook TLDM
Lambaian persahabatan oleh pegawai pemerintah KD Lekiu kepada RSS Stalwart. -Foto: Facebook TLDM
A
A
A

LUMUT - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mempertingkatkan kebolehan saling kendali atau 'interoperability' menerusi Eksesais Malaysia-Singapura (Malapura) bersama Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) di sekitar perairan Selat Melaka.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat berkata, eksesais bilateral tahunan kali ke-29 yang berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) berkenaan berlangsung selama tujuh hari bermula 20 September.

"Mendepani pandemik (Covid-19), pelaksanaan eksesais yang hampir menjangkau usia empat dekad ini berpandukan norma baharu secara dalam talian bagi peringkat perancangan, pembukaan dan penutup serta beberapa siri latihan di laut dilaksanakan tanpa sentuhan.

"Antara siri latihan yang berjaya direalisasikan meliputi peperangan antiserangan udara, penembakan sasaran permukaan, manuvra taktikal dan pengoperasian bot," menurut kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kedua-dua angkatan laut menunjukkan kesefahaman dan komitmen yang tinggi dengan pembabitan empat aset oleh TLDM iaitu Kapal Diraja (KD) Lekiu, KD Lekir, KD Handalan dan helikopter Super Lynx.

Tambahnya, TLRS turut menghantar empat buah aset membabitkan RSS Stalwart, RSS Vigilance, RSS Vigour serta helikopter S-70B.

"Turut serta menjayakan eksesais adalah pesawat F/A 18D dan HAWK TUDM bersama Fast Combat Boat TLDM," katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhannya eksesais tersebut berjaya mencapai objektif yang disasarkan tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

"TLDM akan terus komited memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut lain bagi memastikan keselamatan perairan serantau sentiasa terjamin," ujarnya.