Sasaran agenda bumiputera dalam RMK12 lebih jelas: MTEM

Ahmad Yazid. - Foto Bernama
Ahmad Yazid. - Foto Bernama
A
A
A

AGENDA bumiputera yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mempunyai sasaran lebih jelas melibatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bumiputera, kata Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman.

Beliau berkata, inisiatif itu juga selari dengan hasrat yang dinyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) selain perancangan meletakkan beberapa sasaran tidak berdasarkan ekuiti tetapi mengikut sumbangan kepada KDNK dan pendapatan isi rumah.

"Ini menunjukkan kerajaan ingin mengubah strategi yang lebih fokus kepada bukan ekuiti semata-mata, tetapi lebih kepada sumbangan kepada KDNK dan pendapatan isi rumah dengan menggunakan median bagi menggambarkan realiti semasa," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pendapatan isi rumah untuk bumiputera khususnya perlu dikenal pasti dengan jelas supaya selari dengan segala perancangan dan mencapai objektif yang ditetapkan dalam RMK12.

"Kita perlu perhalusi balik supaya kita tiada keadaan yang kaya makin kaya, yang miskin kekal miskin. Isunya nak memastikan pendapatan isi rumah itu, khususnya bumiputera mencapai apa yang selari dengan dapatan sumbangan KDNK," katanya.

Selain itu, beliau turut menghargai pewujudan semula Bahagian Kemakmuran Bumiputera menerusi RMK12 dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas melalui penugasan semula pegawai di setiap kementerian dan agensi kerajaan.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan agenda bumiputera akan terus diperkasa dan tidak akan diabaikan, sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak dan keistimewaan Melayu dan anak negeri, iaitu peribumi Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum lain.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Hasan Mad berkata, beliau berharap kerajaan tidak memperkasakan agenda bumiputera secara terasing daripada agenda nasional dan harus dengan kelebihan diberi kepada golongan itu apabila mereka memerlukan bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Ia dengan memberi fokus terhadap kumpulan yang kurang berdaya saing. Kalau dia usahawan dah boleh bersaing, biarkan saingan dalam pasaran terbuka. Bukan semestinya semua bumiputera dah berdaya saing di peringkat global nak diberi layanan sama dengan yang kurang berdaya saing tadi, tidak.

"Katakanlah dia dah berjaya, tiba-tiba dia jatuh, bukan kerana dia cuai atau berjoli, boros, tetapi jatuh kerana keadaan pasaran. Dalam keadaan begitu kena dimudahcarakan, bagaimana nak susunkan pinjaman bank, atau tukar perniagaan, dalam keadaan itu kerajaan kena campur tangan," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menghargai pewujudan semula Bahagian Kemakmuran Bumiputera dan berharap kementerian serta agensi dapat memahami skop tugasan masing-masing supaya masalah lama tidak berulang.

Katanya, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) perlu faham bahawa mereka hanyalah sekretariat kepada agenda bumiputera manakala pelaksana ialah kementerian dan agensi. - Bernama