Sindiket dadah tumpas, heroin bernilai RM910,000 dirampas

Sebanyak 30.5 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM910,000 dirampas
Sebanyak 30.5 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM910,000 dirampas
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 30.5 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM 910,000 dirampas manakala sembilan suspek termasuk seorang wanita ditahan di lokasi berlainan di sekitar Lembah Klang pada Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, tangkapan itu dibuat oleh anggota dari JSJN Bukit Aman hasil maklumat dan intipan selama tiga bulan.

"Seorang lelaki tempatan ditahan oleh JSJN Bukit Aman pada jam 1.30 petang pada 20 September (Isnin) di sebuah rumah teres dua tingkat di Puncak Alam dan merampas 57 bungkusan berisi dadah disyaki heroin.

"Susulan dari kes ini, polis turut menangkap tujuh lelaki dan seorang wanita di enam lokasi berlainan di kawasan Subang Jaya, Petaling Jaya, Gombak, Brickfields dan Cheras untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.

Ahmad Jefferi berkata, hasil semakan mendapati enam daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, pelbagai aset dengan nilai keseluruhan RM 286,409 turut dirampas dalam operasi tersebut.

"Antara yang dirampas termasuk wang tunai berjumlah RM32,070, sembilan buah kenderaan jenis Perodua Myvi, Proton Wira, Honda City, Honda Civic, Toyota Vios dan Hilux dengan nilai keseluruhan RM205,000.

"Pada masa sama, kita turut merampas dua buah motosikal jenis Yamaha, 12 barang kemas bernilai RM17,540 dan seutas jam tangan mewah berharga RM1,500," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama 14 hari bermula 20 September sehingga 4 Oktober depan.

"Kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah. Kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 kali sebatan," ujarnya.