154 sindiket dadah kecundang

Antara rampasan peralatan dan bahan disyaki untuk mempropses dadah dirampas dalam serbuan di sekitar Pulau Pinang, Mei lalu. - Foto Polis Pulau Pinang
Antara rampasan peralatan dan bahan disyaki untuk mempropses dadah dirampas dalam serbuan di sekitar Pulau Pinang, Mei lalu. - Foto Polis Pulau Pinang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 478 individu melibatkan 154 sindiket dadah berjaya ditumpaskan menerusi pelbagai siri serbuan di seluruh negara dalam tempoh lima bulan setakat Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, dalam operasi itu, polis membongkar tujuh makmal dadah haram serta tangkapan lima ahli kimia.

Menurutnya, bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM44 juta telah disita.

"Sebanyak RM3.9 juta nilai harta hasil aktiviti dadah turut dilucuthak," katanya pada Sabtu.

Sepanjang tempoh lima bulan itu juga, JSJN berjaya menangkap seramai 77,121 orang di bawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 198 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"JSJN bertindak merampas sebanyak 8,611 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan 1,559 liter pelbagai jenis cecair dadah. JSJN turut merampas 38,072kg daun ketum, 22,187 liter air ketum serta 18 batang pokok ganja yang membawa nilai rampasan sebanyak RM229 juta," ujarnya.

Tambah Mohd Kamarudin, selain itu, seramai 3,407 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C akta yang sama.

Daripada jumlah tersebut seramai 1,969 individu telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen yang sama.

Katanya lagi, JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah apabila seramai 238 orang penjawat awam telah ditangkap.

"Empat orang daripadanya ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB LLPK 1985," katanya.

Jelasnya, selain itu, sebanyak 31,180 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah tersebut sebanyak 28,807 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 92.4 peratus.

"JSJN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah untuk salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222," katanya.